SAUDARA PENGARANG,
PENGANGGURAN belia pada kadar 13.1 peratus sekarang adalah satu statistik yang amat membimbangkan. Oleh itu, perlu wujud anjakan paradigma dalam menangani masalah ini.
Untuk menyelesaikan masalah pengangguran, ia harus dimulakan dengan memperbaiki sistem pendidikan terutama di peringkat universiti.
Golongan kapitalis dalam sistem pendidikan yang memiliki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) banyak menawarkan program yang tidak selari dengan perkembangan ekonomi. Akibatnya, wujud kumpulan graduan yang gagal mendapat pekerjaan.
Di samping itu, sistem pendidikan di IPTS tidak memberi peluang kepada mahasiswa untuk menimba ilmu mengikut minat mereka, tetapi hanya menghasilkan kelas pekerja yang menguntungkan pihak kapitalis.
Adalah tidak logik apabila sesetengah ahli politik menyebut universiti patut menjadi kilang yang menghasilkan graduan bagi pasaran.
Hal ini boleh diatasi dengan sistem pendidikan peringkat universiti dimiliknegarakan oleh kerajaan bagi membolehkan diwujudkan kursus yang boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi mengikut bakat dan minat setiap mahasiswa.
Langkah itu juga membolehkan kerajaan mewujudkan kursus baharu bagi melahirkan graduan berkemahiran yang boleh bekerja dalam industri baharu yang diperlukan negara.
Penglibatan kerajaan yang proaktif dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan akan menjamin kerjaya lebih bermakna dengan kadar gaji lebih berpatutan.
GANDIPAN NANTHA GOPALAN
Kuala Lumpur