SAUDARA PENGARANG,
PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas sebagai sebahagian daripada Pakej Kita Prihatin yang dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion amat dipuji.
Bantuan itu akan disalurkan untuk tempoh tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja.
Satu berita baik yang diumumkan bagi membantu sesebuah syarikat untuk terus beroperasi tanpa membuang pekerja, sekali gus membolehkan mereka tetap dapat menampung perbelanjaan keluarga.
Namun, apa yang dikesalkan adalah apabila terdapat syarikat yang mengambil kesempatan dengan hanya membayar gaji pekerja antara 50 hingga 70 peratus sehingga hari ini.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterrusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), anak saya tidak lagi menerima pendapatan penuh, sebaliknya syarikat mengurangkan kadar pendapatan sehingga 60 peratus.
Lebih mengecewakan, anak saya perlu hadir di pejabat lima hari seminggu tanpa dibenarkan bekerja dari rumah.
Apabila syarikat melakukan pemotongan tersebut, para pekerja terkesan untuk membiayai sewa rumah, kenderaan dan perbelanjaan harian termasuk petrol, tol dan parkir sama seperti sebelum PKP dilaksanakan.
Hal ini menyebabkan anak saya risau dan menyekat pembelanjaan dengan hanya mengambil makanan sehari sekali bagi membolehkan dia tidak kekurangan wang untuk membayar komitmen lain.
Pada pandangan saya, setiap syarikat perlu memiliki sifat bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja dalam situasi Covid-19 yang melanda negara.
Ini kerana kerajaan telah membantu sedaya mungkin bagi membolehkan syarikat terus beroperasi. Jadi, janganlah mengambil kesempatan terhadap pekerja dengan mengerah keringat mereka tanpa bayaran yang sepatutnya.
Sekiranya syarikat itu benar-benar terkesan, maka benarkanlah pekerja bekerja dari rumah secara bergilir-gilir bagi membolehkan mereka menguruskan kewangan dengan baik sementara menunggu kewangan syarikat kembali stabil.
ROBIAH ISMAIL
Kelana Jaya, Selangor