SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, radio Mutiara FM menyiarkan rakaman Wacana Kemerdekaan yang diadakan di Masjid Nurussaadah, Lahar Tabut, Penaga, Pulau Pinang.
Bicarawara itu amat menarik kerana antara penceramah ialah pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican.
Meskipun berada jauh di Lembah Klang, saya teruja dapat mendengar ceramah tersebut menerusi laman sesawang rasmi stesen itu. Saya berpuas hati mendengar pencerahan Ahmad Murad yang berani membongkar banyak penipuan fakta sejarah terutama isu pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light.
Beliau turut mendedahkan kepten Inggeris itu bukan sahaja fasih berbahasa Melayu kerana sudah lama menetap di Nusantara lebih 20 tahun, malahan berkahwin dengan gadis Melayu sendiri.
Bahkan, saya tertarik dengan hujah pakar sejarah itu agar generasi sekarang tidak lagi menganggap Light sebagai wira sebab kejahatannya mengedar candu kepada orang Melayu, menjual senjata haram dan mengamal perhambaan.
Memang Light bijak ‘menawan’ minda penduduk tempatan yang sudah membuka penempatan awal di Pulau Pinang dengan tidak kekok berkain pelikat dan berbaju Melayu, tetapi dia masih lagi berjiwa kolonial.
Akhir kalam, syabas Mutiara FM dan terus perbanyakkan program berfaedah agar pendengar tidak lupa sejarah bangsanya.
AMREE AHMAD
Bangi, Selangor