SAUDARA PENGARANG,
SAYA menyambut baik cadangan Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang mencadangkan proses pendaftaran parti politik diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini kerana amalan sekarang yang melibatkan proses mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) adalah terlalu rumit disebabkan kerenah birokrasi dan tempoh kelulusan yang lama.
Sebab itu ada parti politik yang terpaksa menggunakan taktik mengambil alih parti lama yang sudah sudah tidak aktif dan kemudian membuat penukaran nama.
Ada parti yang tidak sampai 24 jam membuat permohonan pendaftaran telah ditolak ROS tanpa dibuat penelitian lebih terperinci. Penolakan ini menyebabkan ROS difitnah tidak telus dan tunduk kepada arahan pihak tertentu.
Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa yang mempunyai persepsi negatif ini kerana tindakan ROS sendiri.
Sekiranya pendaftaran diurus SPR, saya berharap proses berkenaan dipermudahkan dan jangan diletakkan pelbagai syarat yang sudah tidak relevan lagi.
Dalam pada itu, saya berharap lebih 40 syor yang dibuat oleh ERC diteliti oleh semua pihak untuk dilaksanakan.
Cadangan supaya diwujudkan Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya yang bertanggungjawab menguruskan persempadanan semula kawasan pilihan raya juga dialu-alukan.
MOHAMED AZAM
Kuala Pilah, Negeri Sembilan