SAUDARA PENGARANG,
IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyangkal kenyataan tiga aktivis yang menyifatkan sekolah kebangsaan sebagai tidak fokus kepada pendidikan, sebaliknya terlalu Islamik sehingga mengabaikan pengetahuan berkaitan sains dan teknologi.
Kenyataan yang dibuat ketika sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Yayasan Maju baru-baru ini adalah bersifat prejudis, tidak mencerminkan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan dangkal.
Sebenarnya, kewujudan sekolah kebangsaan adalah menjunjung matlamat Penyata Razak 1956 dan memenuhi FPK untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Aktiviti keagamaan yang dilaksanakan seperti bacaan doa dan majlis sambutan kebesaran Islam bertujuan membina kerohanian murid sebagai asas pembinaan jati diri.
Tiada pengabaian subjek Sains dan Matematik serta mata pelajaran yang ada kaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah kebangsaan. Ini kerana Kementerian Pendidikan telah mempersiapkan segala perancangan pendidikan untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta betul kerana masih ada lagi ibu bapa bukan Islam yang menghantar anak ke sekolah kebangsaan bahkan ke sekolah berasrama penuh (SBP).
Tempoh panjang 63 tahun kita merdeka tidak seharusnya menjadikan semua pihak memandang rendah terhadap sekolah kebangsaan, sebaliknya mereka perlu sama-sama berusaha memperkasa dan memartabatkan sekolah terbabit.
MOHD. AZIZEE HASAN
Presiden
iGuru