SAUDARA PENGARANG,
TAHUN ini kita meraikan Hari Kebangsaan bertemakan Malaysia Prihatin. Semangat ini perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan rakyat terutama di peringkat sekolah lagi demi mewujudkan perpaduan dan menyu-burkan patriotisme terhadap watan. Angka 63 tahun kemerdekaan sepatutnya menjadikan kita matang untuk memikirkan bentuk dan acuan pendidikan yang sesuai untuk generasi akan datang agar kita tidak terpisah lagi dalam kerangka politik kepartian dan perkauman sempit.
Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengajak semua pihak untuk menjadikan Penyata Razak 1956 sebagai asas untuk mewujudkan sekolah satu aliran demi menyatukan semua kaum dalam satu bumbung pendidikan. Kemerdekaan sewajarnya mendidik kita menjadi bangsa yang menjunjung Perlembagaan dan berdiri teguh dengan prinsip Rukun Negara. Kes mengibar Jalur Gemilang terbalik, tidak menghormati lagu Negaraku, mempersoalkan tulisan Jawi adalah satu bentuk generasi yang tidak menghargai semangat patriotisme. Anak-anak dari bangku sekolah perlu diajar erti menghargai lagu Negaraku, menghormati prinsip Rukun Negara dan menyanjung keluhuran Perlembagaan serta mengelak isu-isu sensitif seperti kontrak sosial, bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Hal ini dapat direalisasikan jika kita ada kesungguhan untuk mewujudkan satu aliran pendidikan yang menaungi kepentingan semua kaum agar semua murid pelbagai kaum bangsa dapat bersatu hati menerima ilmu di bawah satu bumbung sistem persekolahan sejak dari usia tadika lagi.
MOHD. AZIZEE BIN HASAN
Presiden i-Guru