SAUDARA PENGARANG,
PENGGUNAAN tatabahasa yang betul terutama pada papan tanda perlu diambil berat. Kesalahan penggunaannya walaupun hanya melibatkan satu atau dua perkataan usah dipandang enteng apatah lagi pada papan tanda awam seperti penunjuk arah.
Menurut Buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka, penulisan kata depan ‘di’ dan ‘ke’ ditulis terpisah daripada kata yang mengikutinya.
Salah satu jenis kata yang lazim mengikuti kata depan ‘di’ dan ‘ke’, iaitu kata nama yang menunjukkan atau mengenai arah atau kedudukan sesuatu. Contohnya, di hadapan, di tepi dan ke kanan.
Pihak bertanggungjawab memasang papan tanda penunjuk arah perlu peka dengan penggunaan tatabahasa yang betul terutama kata depan. Contohnya, ‘di hadapan’ bukannya ‘dihadapan’.
Walaupun sesetengah pihak menyifatkan ia perkara remeh tetapi bagi mereka yang faham penggunaan kata depan yang menunjukkan arah itu salah, ia adalah sesuatu yang memalukan.
Diharap pihak berkenaan dapat membuat pembetulan pada papan tanda yang menggunakan tatabahasa salah agar ia tidak berulang lagi pada masa hadapan. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.
ADISABARIMAN
Tangkak, Johor