Patriotisme bukan sekadar semangat - Utusan Malaysia

Patriotisme bukan sekadar semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA sering perhatikan ketika lagu Negaraku dimainkan dalam majlis, ramai dalam kalangan kita tidak menyanyikannya dengan penuh bersemangat.

Ada yang mengambil sikap endah tak endah, melihat telefon bimbit, berbisik sesama sendiri, malah jika berada di luar dewan, ada yang tidak berdiri dan ada juga berjalan ke sana sini.

Di manakah sikap patriotisme kita, jika gagal menghormati lagu kebangsaan serta tidak berasa bangga ketika menyanyikannya?

Begitu juga dengan Jalur Gemilang yang kadang-kala dikibarkan tanpa ada rasa hormat dan bangga terhadap simbol negara yang sangat penting ini.

Apabila maruah bendera negara dipermainkan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, ada dalam kalangan kita tidak berasa apa-apa melihatkan keadaan itu.

Mungkin disebabkan sikap alpa tentang semangat kenegaraan.

Patriotisme bukan sekadar semangat semata-mata, tetapi meliputi perasaan cinta terhadap tanah air berdasarkan identiti, nilai serta prinsip asas negara bangsa.

Justeru, kita mesti bermula dengan memahami asas pembentukan negara kerana sikap patriotik tidak akan lahir tanpa kefahaman yang mendalam tentang sejarah, budaya serta ciri-ciri asas tanah air.

Mana mungkin dapat kita mempertahankan maruah negara bangsa jika kita gagal memahami asas kenegaraan serta identiti negara.

Bagi saya, pengetahuan tentang asas-asas kenegaraan adalah amat penting untuk dipelajari oleh setiap remaja dalam usaha untuk memacu masa depan negara. Hari ini, remaja diberikan kepercayaan yang lebih besar, contohnya penurunan umur minimum pengundi kepada 18 tahun.

Maka serentak ini, kita mestilah bersikap lebih matang dan lebih bertanggungjawab serta lebih peka tentang keadaan semasa dan masa depan negara. Masalahnya, kadang-kala kita sering berharap agar apa yang kita idamkan akan datang bergolek tanpa perlu bersusah-payah dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Namun, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Jika kita hanya leka dengan keseronokan dalam melayari kehidupan remaja tanpa berpijak di bumi nyata, bagaimanakah dapat kita belajar untuk berbakti kepada negara?

Remaja adalah harapan negara. Jika generasi kita gagal mencintai negara, maka kelak akan hilanglah warisan martabat negara bangsa. Kejayaan material semata-mata tidak boleh mempertahankan, malah boleh menjadi penyebab kepada runtuhnya ketinggian tamadun sesebuah bangsa.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya