SAUDARA PENGARANG,
SAYA berharap Majlis Daerah Tapah dan Jabatan Kerja Raya dapat melakukan sesuatu bagi menaik taraf Jalan Tapah-Cameron Highlands yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.
Terbaru, kejadian tanah runtuh pada 15 September lalu di tiga kawasan iaitu Batu 10, Batu 16 dan Batu 20 sehingga menganggu mereka yang merancang untuk bercuti di Cameron Hinglands, Pahang sempena cuti Hari Malaysia, keesokannya.
Laluan sejauh 45 kilometer ini yang turut dikenali dengan nama Jalan Persekutuan 59 memang mencabar kerana berliku dengan selekoh pendek yang sempit. Sesiapa yang tidak tahan akan muntah.
Difahamkan, JKR pada 2019 memperuntukkan sebanyak RM19.4 juta untuk membaiki 10 lokasi cerun runtuh dan melakukan kerja pencegahan di 59 lokasi lain di laluan sama.
Saya ingin tahu, kenapa tanah runtuh masih berlaku walaupun pelbagai langkah dibuat bagi mencegahnya?
Pihak terbabit juga perlu memberi penjelasan sama ada sistem amaran awal (EWS) yang dipasang mampu berfungsi jika ada kenderaan ditimbus runtuhan tanah.
AWANG DOLLAH
Kuala Kubu Bharu, Selangor