KARTUNIS haluan kanan di Amerika Syarikat, Ben Garrison yang popular dengan satira Drain The Swamp, pernah berkata: “Sudah tentu, satira dan humor dalam kartun adalah elemen penting, tapi ia bukan satu-satunya elemen.
“Kartunis yang bagus tidak semestinya seorang yang kelakar, sebaliknya perlu efektif.”
Menyorot kenyataan kartunis pro-Republikan itu, timbul persoalan, sejauh mana sesebuah satira perlu bergerak dalam mempengaruhi masyarakat?
RUANG KRITIK SOSIAL
Dalam konteks tempatan, kenyataan Garrison cukup tepat menggambarkan projek sosial seorang kartunis bernama Norkamaro Mohd. Noor yang turut menjadikan satira dengan sedikit sentuhan dark humor sebagai medan menjetik minda massa.
Berusia 47 tahun, sosok terkenal dengan nama pena Maro ini, telah hampir tiga dekad mengemudi kolum Mamak Cyber dan Malaysia Kita bersama akhbar Utusan Malaysia serta Mingguan Malaysia.
“Ruangan kartun dalam sesebuah akhbar memang sangat penting. Ini kerana pembaca lazimnya akan menghadam butiran sarat maklumat di setiap helaian, kemudian apabila sampai kepada ruangan kartun, minda boleh relaks sedikit. Sebab itu, biasanya kolum kartun diletakkan pada bahagian belakang.
“Jadi, sebagai kartunis kita perlu bijak guna ruangan yang terhad itu untuk menjentik minda pembaca dengan humor agar minda yang sarat maklumat tadi boleh berehat.
“Sambil itu, masukkan sedikit elemen nasihat atau kritikan membina,” kata Maro yang lebih suka merendah diri ini kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
LEBARKAN SAYAP
Katanya, minat kepada seni lukisan bertitik tolak dari si abang.
“Dalam keluarga, sumber inspirasi adalah abang saya. Dia memang pandai melukis, bahkan pernah ambil jurusan senibina di universiti luar negara.
“Saya suka lihat jemarinya menari atas kertas, menzahirkan butiran dari minda ke dalam bentuk lukisan yang cantik-cantik. Dari situ, saya mula belajar melukis,” terangnya.
Kemudian pada 1995 selepas tamat persekolahan, dia ibarat anak burung yang baru pandai terbang, dan tidak tunggu lama untuk mula melebarkan sayap.
“Pada tahun itu, sekitar musim politik tanah air sedang tegang dengan badai reformasi, saya menyertai majalah Kawan dan Mangga, iaitu projek
di bawah syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.
“Selanjutnya pada 2003, saya dijemput memeriahkan keluarga surat khabar Utusan Malaysia sebagai kartunis. Sejak itulah kartun-kartun saya mula menjadi halwa mata pembaca,” katanya.
SANTAPAN PEMBACA
Mengimbau kembali memori manis dalam industri, beliau berkata, dua ikon utama kartunnya, iaitu Malaysia Kita dan Mamak Cyber, telah menemui pembaca seawal 1990-an.
“Masih jelas dalam ingatan, saya diberi penghormatan mengemudi kolum Malaysia Kita dalam Utusan Malaysia. Ia kolum yang boleh digelar legenda, yang wujud seawal 1980-an.
“Kenapa legenda? kerana sebelum saya, beberapa kartunis ‘otai’ memang menguruskan kolum itu,” jelasnya.
Maro berkata, pada 1997 pucuk dicita, ulam mendatang. Utusan sekali lagi memberi ruang dan peluang untuknya mengemudi pula kolum baharu yang dinamakan Mamak Cyber.
“Ilham mencetuskan karekter dalam kolum ini, hasil pembacaan dan penelitian saya terhadap kehidupan sekeliling.
“Saya gemar membaca dan pada masa sama suka memerhatikan perjalanan sosiopolitik negara.
“Semua itu diadun sehingga terhasilnya Mamak Cyber. Memang karekter dalamnya adalah ekspresi saya terhadap cerita tanah air kita,” katanya yang juga aktif dalam pergerakan kartunis tanah air.
PAHIT, MANIS
KEHIDUPAN KARTUNIS
Bicaranya, kehidupan sebagai kartunis penuh warna-warni.
“Seperti juga orang lain, hidup kami ada warna ceria, ada juga warna suram. Saya pernah ‘ditegur’ ahli politik dan menerima teguran itu sebagai satu yang membina,” ceritanya.
Namun, apa yang penting, kata Maro, memastikan kartun dihasilkan dapat memberi keceriaan kepada pembaca.
“Hasrat saya, selagi hayat dikandung badan, saya akan terus berkarya demi mengukir senyum dan tawa di wajah pembaca. Memang itulah takdir kami, iaitu untuk bersama masyarakat mencorakkan naratif tanah air dengan warna-warni kehidupan,” katanya.
MENANG ANUGERAH
Berkat sabar dan sifat istiqomah berkarya, dia berjaya merangkul pelbagai anugerah. “Alhamdulillah, baru-baru ini saya menang satu lagi anugerah dan itu jadi pemangkin untuk saya terus berkarya,” ujarnya.
Anugerah itu, katanya, merujuk kepada Kartun Editorial Terbaik dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia. Ia majlis yang dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI) Petronas.
PENGARUH KE ATAS MASYARAKAT
Menurut Maro, kartun memainkan peranan mencorakkan sentimen dan persepsi.
“Sebab itu, sewajarnya kita gunakan kartun sebagai wadah mendidik dengan penuh hikmah. Jangan radikal kerana kita bertanggungjawab mencorakkan gaya fikir pembaca,” jelasnya
menamatkan perbualan. – Sastera dan Budaya, Mingguan Malaysia