SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi digesa mengambil langkah secara menyeluruh bagi memastikan pengguna boleh mendapat akses internet walau di mana sahaja berada.
Rata-rata rakyat di negara ini memiliki telefon pintar dan set komputer meliputi pelbagai bidang penggunaan, sekali gus membuktikan capaian internet secara menyeluruh diperlukan.
Begitu juga pemain industri telekomunikasi dan kedai menjual barangan teknologi maklumat (IT) seperti komputer turut bersaing menawarkan pelbagai pakej jalur lebar dengan harga berbeza yang kadang-kadang membebankan pengguna terutama golongan kurang berkemampuan dan pelajar.
Tidak kurang juga terdapat pakej yang indah khabar dari rupa seperti capaian internet agak perlahan dan tidak menyeluruh walaupun telah membuat penukaran pakej beberapa kali dengan purata capaian serta liputan masih sama.
Pihak Telekom Malaysia juga seharusnya mencari jalan menyelesaikan masalah gangguan perkhidmatan internet yang ditawarkan kepada pengguna, bukannya sekadar menawarkan penukaran pakej sahaja.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta SKMM juga diminta memantau harga pakej yang ditawarkan supaya tiada unsur penyelewengan dan penipuan.
Kita mahu pengguna mendapat hak mereka dan akses internet yang setimpal dengan pakej yang ditawarkan, malah mahu capaian jalur lebar setanding negara maju.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang