Lelaki malas? Baca dulu jangan malas... - Utusan Malaysia

Lelaki malas? Baca dulu jangan malas…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA seorang diri menikmati sarapan di tempat kerja baru-baru ini, saya melayari laman sosial di telefon pintar. Satu persatu hantaran kawan-kawan dalam Facebook saya baca. Kadang-kadang kita memerlukan kata-kata semangat atau jenaka yang boleh menaikkan mood untuk memulakan hari.
Tiba-tiba mata saya menangkap pada satu hantaran daripada seorang kawan baik yang memuatkan keratan akhbar: ‘Hidup melarat bersuamikan lelaki pemalas’. Nak tersembur air teh tarik yang saya minum bila membaca tajuk itu. Saya ketawa sendiri. Nasib baik meja sekeliling saya kosong.
Dia menulis – Buat yang belum berkahwin… sila baca artikel ini. Bagi yang sudah terkena, nanti saya cari artikel lain untuk pedoman.
Saya pun menghantar mesej melalui WhatsApp kepadanya. “Eh, hang dah kenapa ni,” tanya saya. Dia jawab, saja-saja. Bukan kena pada dirinya. Tiada kaitan langsung. Saja nak bergurau di pagi itu. Lagipun, katanya, memang zaman sekarang ini ramai lelaki pemalas!
Lagi sekali saya ketawa. Betulkah ramai lelaki pemalas? Orang lelaki manalah hendak mengaku. Tak mengapalah. Itu bukan isu yang hendak saya bangkitkan. Hari Ahad ini, kita tenang-tenang sajalah.
Hal sebegini mengingatkan saya pada satu berita pada tahun lalu mengenai kadar perceraian di negara ini dan sebab-sebab perceraian yang tidak masuk di akal.
Antara sebabnya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, suka mengikuti rombongan beramai-ramai, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, gaji suami lebih rendah, suami kedekut, pasangan tidur berdengkur, suami mencurigai setiap tindakan isteri, berebut rancangan TV dan pasangan lupa mengepam tandas.
Seriuslah? Betul. Itulah alasan-alasan yang direkodkan oleh Jabatan Syariah Selangor.
Selalunya, yang kita baca perceraian berlaku kerana faktor kurangnya wang untuk perbelanjaan anak isteri, tiada persefahaman dan ada orang ketiga.
Memang pelik kita perhatikan beberapa punca perceraian di zaman ini. Perkara remeh saja tetapi dirumitkan.
Apa pun alasan bagi saya, begitulah kalau sudah tiada rasa cinta. Hal-hal yang kecil pun sengaja dibesar-besarkan. Hanya cari penyebab saja.
Tetapi bila ada rasa cinta berbunga-bunga dan hati sarat dengan rasa sayang hal yang besar pun dianggap kecil dan berusaha mencari jalan penyelesaian. Bukankah begitu?
Sejak beberapa tahun ini media sosial turut menyumbang kepada perceraian dan pergaduhan suami isteri. Saya juga pernah membaca kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mendapati penggunaan media sosial secara meluas dan penganjuran program pertemuan tautan kasih alumni sekolah (reunion), menjadi antara penyebab kecurangan sehingga menyebabkan pasangan suami isteri bercerai.
Pernah lihat kawan gelisah bila telefon bimbit tertinggal di rumah? Memang telefon pintar menjadikan semua orang senang untuk berkomunikasi. Tetapi pada kebanyakan orang, ia juga menyimpan banyak `rahsia’. Mungkin inikah antara senario yang dimaksudkan dalam kajian LPPKN itu?
Dan di zaman teknologi maklumat ini juga bukanlah sukar bagi ‘kaki sibuk’ membuat andaian apa yang berlaku dalam rumah tangga atau perhubungan seseorang. Ini disebabkan ramai yang suka menyindir pasangan dengan memuat naik status dalam media sosial bagaikan hal peribadi bukan lagi kategori sulit. Boleh pula dicanang dan diumum macam hari raya pula.
Apa yang ingin saya katakan di sini, betapa penggunaan media sosial yang tidak betul boleh meruntuhkan dan menjadikan hal-hal dalaman dalam perkahwinan bukan lagi peribadi. Benda yang boleh selesai, tidak boleh diselesaikan kerana terlebih dahulu masalah dibincangkan dalam media sosial. Bila sudah didedahkan dan dibincangkan beramai-ramai, kerosakan terus bertambah. Dan soalan yang paling penting di sini, di manakah letaknya rasa malu? –Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya