SAUDARA PENGARANG,
MENTERI Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini mengumumkan penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS). Unit ini bertanggungjawab mencegah jenayah alam sekitar, selain menangani isu pencemaran yang semakin berleluasa secara holistik dan proaktif.
Namun, banyak persoalan mengenai penubuhan unit baharu ini terutama perbezaan peranan yang bakal dimainkannya berbanding Jabatan Alam Sekitar (JAS)? Kenapa tidak boleh diperkasakan sahaja JAS?
Untuk makluman, JAS yang diletakkan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air adalah sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk memantau penguatkuasaan aktiviti berkaitan flora dan fauna.
Jabatan yang sudah lama wujud ini memiliki banyak pengalaman dalam aspek melindungi alam sekitar. JAS pada awalnya diwujudkan sebagai Bahagian Alam Sekitar di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar pada 1975 sebelum berpindah ke Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, setahun kemudian.
Berdasarkan kepada kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, bahagian itu dinaikkan taraf ke sebuah jabatan sepenuhnya, dikenali sebagai JAS pada 1983.
Pada 2004, JAS dipindahkan ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Pada masa ini, peranan utama jabatan itu adalah mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling selaras peruntukan undang – undang sedia ada di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nilai, Negeri Sembilan