SAUDARA PENGARANG,
ORANG Melayu adalah penduduk asal tanah air ini dengan majoriti lebih 60 peratus daripada populasinya. Kestabilan sosioekonomi dao sosiopolitik kelompok terbesar ini juga akan menjamin kemakmuran keseluruhan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Gabungan Reformis Malaysia (GRM) berpandangan, dasar-dasar untuk membantu orang Melayu seharusnya tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak atau diekploitasi menjadi isu perkauman oleh mana-mana pihak.
Setelah lebih 63 tahun merdeka, kelihatannya kedudukan orang Melayu masih ketinggalan dalam pelbagai sektor, walaupun ada hak istimewa, tanah rizab, kuota dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Di mana silapnya? Siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini?
Justeru, GRM menyeru kerajaan agar segera mengemukakan pelan konkrit dan agenda sistematik. GRM berpandangan, membela kelompok tertinggal sama ada orang Melayu, Kadazan, Dayak, Cina atau India dibuat secara adil. Ringkasnya, tiada ketirisan, penyelewengan, rasuah, pembaziran dan pembolotan. Ia mestilah tidak meniupkan sentimen perkauman, permusuhan mahupun pemboikotan.
Membina Malaysia Baharu berdasarkan acuan sedemikian akan turut memakmurkan peringkat serantau dan global seperti yang dibuktikan oleh tamadun Islam.
MUSTAFFA KAMIL AYUB
Penyelaras GRM