SAUDARA PENGARANG,
SAYA merupakan antara rakyat Malaysia yang berkesempatan membaca hasil penulisan indie oleh Mohd. Jazuan, Nami Cob Nobbler, Naufal Tarmizi dan beberapa nama lain.
Buku-buku terbitan syarikat tempatan itu pernah ‘digilai’ dan memiliki pengikutnya tersendiri terutama dalam kalangan anak muda, namun agak sepi beberapa tahun kebelakangan ini.
Agak sayang, bakat-bakat penulis ini seolah-olah senyap dari dunia penerbitan atau saya yang ketinggalan mengenai perkembangan mereka lebih-lebih lagi banyak kedai yang menjual buku-buku ini tutup.
Saya akui terdapat laman web untuk memudahkan pembaca mendapatkan buku alternatif, namun agak jarang mendengar aktiviti terbaru mereka.
Walaupun terdapat tentangan mengenai penerbitan buku-buku ini, namun bagi saya bentuk penulisannya lebih santai, berterus-terang dan mendalam berjaya menarik sebilangan besar pembaca muda.
Saya berharap penulis-penulis alternatif atau indie tidak berputus asa dan terus menghasilkan karya bermutu kerana hasil penulisan anda sangat berbeza dan memberi warna dalam dunia penerbitan tempatan.
ADRA AZRI
Kuala Lumpur