Kartel rokok seludup: Bila nak selesai? - Utusan Malaysia

Kartel rokok seludup: Bila nak selesai?

ROKOK antara barangan seludup yang kerap dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH penyeludupan di negara ini bukanlah perkara baharu. Ia ‘penyakit’ yang sudah sekian lama tetapi terus-menerus berlaku sehingga akhirnya menjadi barah. Bahana barah penyeludupan ini pula memberi kesan menyeluruh, tidak sekadar membabitkan soal ekonomi dan keselamatan tetapi turut merosakkan institusi sosial apabila integriti juga menjadi dagangan untuk ‘diseludup’.

Saban waktu, ada sahaja paparan berita mengenai cubaan menyeludup ke negara ini membabitkan pelbagai jenis barangan meliputi dadah, senjata api, rokok, minuman keras, pakaian, produk makanan serta pelbagai lagi. Tentunya kita bersyukur atas kecekapan pihak berkuasa mematahkan cubaan tersebut, tetapi realitinya tidak sedikit yang terlepas daripada tindakan pihak berwajib.

Jika tidak, masakan Malaysia kini menghuni tangga teratas sebagai negara yang menjadi lambakan rokok seludup dunia, iaitu setinggi 63 peratus pada tahun lalu, mengatasi negara-negara dunia ketiga yang sememangnya tersohor dalam bab penyeludupan seperti Uganda, Pakistan, Ethiopia dan Ghana. Kadar penyeludupan itu meningkat 3.4 peratus berbanding 2018.

Rating tersebut terpampar dalam laporan Euromonitor International – sebuah badan penyelidik pasaran strategik antarabangsa. Bukan sekadar itu, kajian yang dilakukan Neilsen’s, iaitu sebuah lagi badan penyelidik bebas, dari 2015 hingga 2019 mendapati sebanyak 12 bilion batang rokok di negara ini adalah diseludup. Lebih tepat lagi, purata bagi setiap 10 batang rokok yang dijual di negara ini, enam batang daripadanya adalah rokok seludup yang dibawa masuk dari negara jiran.

Tentu sekali senario ini mendukacitakan kerana bukan sahaja mencemarkan imej negara di mata dunia, kita kehilangan pendapatan hasil cukai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun.

Jumlah tersebut amat besar. Wang itu yang sepatutnya menjadi pendapatan negara kini berada dalam poket dan kantung kartel penyeludupan.

Sedangkan jika negara berjaya mengutip cukai itu, terutamanya dalam suasana norma baharu akibat pandemik Covid-19, bayangkan berapa tambahan pakej prihatin kerajaan dapat disalurkan kepada rakyat. Berapa pula rumah mampu milik serta rumah kos rendah bagi kumpulan B40 dapat kerajaan sediakan dan berapa banyak geran boleh ditawarkan untuk rakyat memulakan perniagaan?

BERANI

Hal ini sebenarnya saya sudah bangkitkan di Dewan Negara pada 7 September lalu dan saya berterima kasih kepada jawapan Kementerian Kewangan pada 15 September. Namun, isu penyeludupan ini memerlukan tindakan berani serta tegas dengan segera daripada kerajaan kerana banyak ketirisan berlaku.

Paling mengejutkan, saya dimaklumkan, penyeludupan rokok atau minuman keras dalam skala besar ini sebenarnya bukan melalui jalan-jalan tikus tetapi menerusi pintu masuk utama negara.

Terdapat lopong dalam undang-undang yang dieksploitasi kumpulan kartel ini, terutamanya mereka memperalatkan borang pengisytiharan K8 untuk menurunkan kontena semasa di pelabuhan.

Kontena itu pula walaupun pihak berkuasa sedar ia rokok atau minuman keras seludup, tidak boleh dirampas kerana kartel mendakwa mahu dihantar ke negara jiran melalui jalan darat. Tapi selalunya, saya dimaklumkan, sebelum kontena itu sampai ke destinasi, rokok dan minuman keras tersebut sudah ghaib. Soalnya, siapa cuai dalam hal ini dan kenapa dibiarkan?

Sebenarnya tidak pelik kerana jika wang sebesar RM5 bilion hingga RM6 bilion berada dalam poket atau kantung kartel, mereka dengan mudah mampu menyediakan puluhan juta bagi ‘menyeludup’ integriti agensi serta anggota penguat kuasa. Jumlah puluhan juta adalah kecil bagi kartel, sebab itu data memperlihatkan peningkatan ketara penyeludupan rokok bermula pada 2015.

KETIRISAN

Sehubungan itu, saya sekali lagi mendesak kerajaan dalam soal ketirisan cukai ini, pertamanya, memperkasakan pasukan petugas pelbagai agensi merangkumi kastam, polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta beberapa lagi memastikan Malaysia mempunyai penguatkuasaan berlapis.

Mana-mana pegawai atau anggota penguat kuasa yang merelakan diri mereka dibeli kumpulan kartel ini harus segera diambil tindakan.

Langkah memperkasakan pasukan petugas ini pula perlu diperkukuhkan lagi dengan tindakan susulan berkesan, iaitu membekukan trans-shipment di pelabuhan melibatkan kontena rokok dan minuman keras. Langkah ini, bagi memastikan lopong pada undang-undang penggunaan borang pengisytiharan K8 tidak terus-menerus disalahgunakan bagi tujuan penyeludupan.

Kerajaan juga perlu berani mengambil langkah drastik dengan hanya menetapkan laluan masuk tunggal iaitu di Pelabuhan Klang untuk laluan laut dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi laluan udara. Langkah ini bagi memastikan aspek penguatkuasaan dapat diperketatkan dan segala pemantauan boleh dijayakan dengan lebih cekap.

Jika semua ini dapat dilaksanakan, saya penuh yakin dan percaya, kerajaan akan dapat mengutip sekurang-kurangnya RM5 bilion pendapatan tambahan setahun dan ia dapat disalurkan kembali bagi menjana ekonomi rakyat.

Barah penyeludupan perlu diperangi secara serius kerana kartel ini tidak gentar dengan denda minimum RM100,000 yang dikenakan pihak kastam. Itu pun setelah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksesais 1976 dipinda pada tahun lalu.

Pada masa sama, selain cukai ke atas rokok, sudah sampai masanya kerajaan menguatkuasakan cukai ke atas vape yang menjadi kegilaan baharu rakyat ketika ini.

Sebenarnya tidak adil bagi industri rokok apabila mereka dikenakan cukai tinggi tetapi industri vape yang turut memberikan kesan kesihatan kepada rakyat dilepaskan daripada tanggungjawab itu.

Justeru, dalam suasana norma baharu yang menyebabkan seluruh dunia berdepan kelembapan ekonomi, pendekatan baharu yang berani, komprehensif serta bersifat strategik perlu segera diambil bagi memulihkan kembali kedudukan fiskal negara agar pembangunan demi kepentingan rakyat tidak terencat.

PENULIS ialah Ahli Dewan Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya