YANG dia tahu, ketika itu dia rasa macam nak mati. Sesak nafas seperti ada batu tersekat di kerongkongnya dan pandangannya semakin gelap. Lepas itu dia tidak sedar. Tahu-tahu saja, dia sudah terbaring di atas katil hospital.
Buka mata, ibunya berada di sebelah dengan mata yang bengkak. Jenuh menangis. Bapanya memandangnya dengan pandangan cemas. Badannya terasa terlalu lemah. Sudah tertulis hari itu memang bukan hari ajalnya. Alhamdulillah, dia masih bernyawa sehingga sekarang.
Itu cerita 10 tahun lalu. Kisah sedih seorang wanita yang kini berusia 35 tahun. Walaupun 10 tahun sudah berlalu, dia masih ingat kejadian yang hampir meragut nyawanya.
Semuanya kerana kemurungan. Dia menelan ubat pelangsing dengan berlebihan kerana hendak kurus cepat tanpa mengetahui risikonya. Sebabnya, dia begitu tertekan apabila kawan-kawannya mengelarnya `buntal’.
Yelah, dalam usia 25 tahun, dia mahu cantik macam kawan-kawan lain dan ada pasangan. Tetapi itulah, dia sering dipersendakan oleh kawan-kawan sekeliling.
Dan paling terkesan katanya, apabila seorang lelaki mengatanya secara berdepan – “Macam mana kau hendak keluar dating, kalau kerusi makan kat restoran pun tak dapat tampung kau. Boy friend nak bawa naik kereta pun tak boleh. Seat depan tak muat!”
Selepas itu, dia tekad mahu kuruskan badan. Dia mencuba pelbagai pil pelangsing tanpa mendapatkan nasihat doktor. Dan akhirnya akibat tertekan tidak kurus-kurus dia menelan pil itu tidak mengikut aturan. Bukan niat membunuh diri. Tapi hanya mahu kurus!
Itulah kesannya body shaming atau sindir badan. Benarlah apa yang diberitahu oleh Kementerian Kesihatan. Body shaming boleh mengakibatkan stress dan gangguan emosi, hilang keyakinan diri, kecelaruan pemakanan, kemurungan dan kejadian bunuh diri.
Ini hanya satu kisah benar. Entah berapa ramai lagi jiwanya terseksa dengan mulut-mulut tanpa penapis sebegini. Bukan semua orang jenis tahan menerima apa saja orang memperkatakan tentang dirinya.
Saya menganggap perbuatan mengejek fizikal seseorang ini sebagai satu perbuatan yang anti-sosial atau tidak pandai bermasyarakat. Dan kalau tidak pandai bersosial, duduk saja di rumah diam-diam. Buat cara tidak pandai bergaul.
Ya, dalam dunia ini, memanglah kita tak perlu serius sangat. Tetapi bukan semua perkara boleh dibawa bergurau dan dipersendakan.
Bergurau dan menghina adalah dua perkara yang amat berbeza. Tak akan itu pun tak tahu.
Sebab itu, apabila ada pelawak-pelawak yang mengacarakan sesuatu program menggunakan body shaming dalam lawak mereka dengan harapan penonton atau pendengar akan ketawa pecah perut, saya akan tutup TV atau radio itu. Jangan menyokong body shaming. Itu saja.
Dan bila media sosial kini menjadi tumpuan untuk semua berita dan komunikasi, body shaming semakin menjadi-jadi. Ia bukan sahaja melalui percakapan tetapi melalui hujung jari pun boleh mengejek dan memalukan.
Tetapi sedarkah anda, body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengadulah pada pihak berkuasa wahai mangsa yang ada bukti dihina saiz badan dalam laman media sosial. Jangan biarkan pelaku sesuka hati menghina makhluk ciptaan Tuhan dan menganggap dirinya saja serba cantik, segak, sempurna dan sentiasa betul.
Body shaming adalah satu jenayah. Dan penjenayah bermulut jahat ini sepatutnya juga menerima hukuman seperti penjenayh-penjenayah lain.
Apa cerita wanita 35 tahun itu? Saiz badannya masih begitu. Dia sudah tidak kisah. Asalkan sihat. Tetapi dia sudah bahagia. Berkahwin dan punya seorang anak. Suaminya, menerima dia seadanya. Siapa kata perempuan berbadan gempal tidak laku? Pandai-pandai saja cakap. – UTUSAN