Sudah hampir seminggu bidan Tok Piah meninggal dunia, namun sejak itu jugalah pelbagai cerita yang kurang enak berlegar dalam kalangan penduduk Taman Sri Melor. Benar atau tidak memang susah untuk ditafsirkan, namun ramai mengaku pernah mengalami pengalaman yang menakutkan kebelakangan ini.
Bidan Tok Piah ketika hayatnya cukup terkenal. Dia bukan sahaja dikenali sebagai bidan ibu-ibu yang bakal bersalin, malah dia juga pandai mengurut dan mengubat orang sakit. Pelanggannya pula bukan sedikit, malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin berubat dengannya.
Walaupun usianya sudah menjangkau 80 tahun, namun kudratnya masih kuat dan bertenaga. Dia masih gagah melakukan pelbagai kerja. Semuanya diuruskan sendiri, apatah lagi dia memang tinggal sendirian kerana tidak pernah berumah tangga.
Namun, kematiannya yang mengejutkan menjadi tanda tanya penduduk di taman itu. Tok Piah meninggal dunia di sofa ruang tamu rumahnya. Mayatnya ditemui keesokan harinya oleh jiran yang kebetulan ingin datang berurut dengannya.
Qariah Taman Sri Melor bersama-sama membantu menguruskan jenazah Tok Piah memandangkan tiada waris arwah yang dikenali dan dapat dihubungi. Namun selepas tiga malam arwah dikebumikan timbul pula cerita kurang enak.
Menurut beberapa orang pemuda yang biasa melepak di flat taman itu, lebih kurang pukul 1 pagi ketika asyik bermain gitar tiba-tiba mereka ternampak seorang wanita berpakaian serba putih berdiri di tepi tangga flat tersebut.
Mereka sangka wanita tersebut tersesat atau sedang mencari rumah seseorang, rupa-rupanya sebaik sahaja mereka hampiri dan ingin bertanya, semuanya bertukar pucat lesi dan lari lintang pukang. Memang sah wanita tersebut ialah Tok Piah.
Kisah kedua pula apabila anak Cik Ton yang baru pulang dari kerja kilang mendakwa terserempak dengan Tok Piah di simpang masuk berdekatan jalan besar. Katanya, Tok Piah berdiri berpakaian serba putih di bawah pokok ketapang berhampiran pondok menunggu bas.
Sejak cerita tersebut tersebar, aktiviti penduduk Taman Sri Melor mula berubah. Jika dahulu ramai yang melepak hingga lewat malam di warung, tapi kini tidak lagi. Boleh dikatakan pukul 10 malam sahaja suasana sudah sunyi sepi. Ibaratnya seperti taman yang baru dilanggar garuda.
Zira yang merupakan jiran sebelah rumah Tok Piah juga tidak kurang seriaunya. Dia pula tinggal berdua bersama rakannya Dayah. Malam itu pula Dayah sudah mula kerja syif malam hingga pagi. Jadi terpaksalah dia tinggal seorang diri.
Selesai menonton televisyen dia melangkah masuk ke bilik. Sebaik merebahkan tubuh di katil, lantas dia cuba lelapkan mata. Puas dia bergolek ke kiri dan ke kanan, namun matanya tetap susah untuk lelap. Dicapainya telefon bimbit lalu di pasangnya lagu-lagu kegemaran, dengan harapan boleh membantunya segera melelapkan mata.
Sedang matanya berkira-kira ingin lena tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi pelik bersebelahan tingkap bilik tidurnya. Zira pasang telinga.
Sretttt…. Sretttt…. Sretttttt…. Sretttt….
Bunyi seperti seseorang yang berjalan sambil menyeret kasut. Tubuh Zira tiba-tiba berpeluh. Jantungnya berdebar kencang. Dia amati bunyi tersebut sambil merapatkan telinganya di tepi tingkap. Memang sah. Dia kenal sangat bunyi tersebut. Itulah bunyi bidan Tok Piah kalau berjalan. Memang sifatnya berjalan sambil menyeret kasut kerana kakinya agak tempang sedikit.
Tubuh Zira sudah basah bermandi peluh. Ikutkan hati ingin sahaja dia mengintai dari celah tingkap untuk melihat apa yang ada di luar, tapi dia batalkan niat. Takut kalau apa yang dilihatnya nanti di luar jangkaan. Tak pasal-pasal lain pula jadinya.
Bunyi tersebut semakin lama semakin kuat menghampiri. Akhirnya bunyi tersebut betul-betul berhenti di tepi tingkapnya. Jantung Zira seperti disentap keluar dari tubuh. Lantas dia membaca ayat-ayat suci al-Quran walaupun bacaannya tunggang langgang.
Hampir subuh juga baru Zira dapat melelapkan mata. Kisah tersebut tidak mahu dikongsikan bersama Dayuah, takut kalau-kalau Dayah pula berasa seram jika tinggal sendirian nanti.
Keesokannya dia mendengar cerita kononnya malam tadi Tok Piah pulang ke rumah. Cerita tersebut disahkan oleh seorang pemuda yang kebetulan menghantar teman wanitanya pulang. Katanya, ketika lalu di tingkat tiga dia ternampak seorang wanita tua yang ingin membuka kunci di pintu rumahnya.
Dia lantas menawarkan diri untuk membantu, namun sebaik sahaja wanita itu menolehnya dia terus rasa seperti hendak pengsan kerana wajah wanita tersebut amat menakutkan. Sudahlah dipenuhi bisul dan nanah, baunya pula cukup busuk sehingga tekaknya loya nak muntah.
Rambutnya putih mengerbang tak terurus dan pakaiannya pula dipenuhi lumpur. Ketika itulah dengan tidak semena-mena wanita tua itu mengilai panjang dan hilang daripada pandangan.
Pemuda yang terkejut itu terus pengsan di hadapan rumah Tok Piah. Nasib baiklah beberapa orang pemuda yang ingin pergi bekerja pagi tadi terserempak dengannya.
Kisah hantu Tok Piah bergentayangan di Taman Sri Melor terus menjadi buah mulut. Akhirnya seorang ustaz dipanggil untuk memulihkan keadaan di situ. Hampir setiap malam penduduk membaca yasin dan tahlil di surau flat tersebut untuk disedekahkan pada arwah Tok Piah.
Menurut Ustaz Fikri apa yang dilihat penduduk selama ini adalah jelmaan belaan Tok Piah. Memang selama ini belaan itulah yang banyak membantunya membidankan wanita bersalin dan mengubat orang sakit.
Cerita tersebut tersebar luas. Patutlah selama ini bila selesai membidankan ibu-ibu yang baru lepas bersalin Tok Piah akan meminta uri bayi tersebut. Alasannya biar dia sahaja yang mencuci dan menanam uri tersebut, tetapi hakikatnya uri tersebut dijadikan jamuan untuk belaannya.
Seperkara lagi perangai Tok Piah yang pelik, dia langsung tidak mahu bertentang mata dengan sesiapa yang bertembung dengannya. Jika bersembang dia lebih banyak tunduk dan tidak mahu berbual panjang.
Hampir dua bulan juga keadaan di Taman Sri Melor pulih seperti sedia kala. Walau bagaimana pun penduduk di situ masih tidak berani keluar malam walaupun cerita bidan Tok Piah sudah tidak kedengaran lagi.
Zira pula masih trauma dengan kejadian yang menimpanya tempoh hari. Kini setiap malam jika tinggal seorang diri dia akan memasang alunan ayat-ayat suci al-Quran di biliknya. Baginya itu sahaja cara yang mampu mendamaikan jiwa dan menghindari rasa takut dalam dirinya.- Mingguan Malaysia.
Jelmaan bidan Tok Piah Pulang ke rumah
- Oleh Roshihan Annuar Bin Yub
- 6 September 2020, 4:13 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: bidan balik rumah
BERITA BERKAITAN
‘2024 bukan tahun yang baik buat saya dan syarikat’
15 November 2024, 6:39 pm
Enggan komen hal peribadi namun saya akan terus berjuang – Diana Danielle
15 November 2024, 6:35 pm
Belanjawan Selangor 2025: Amirudin umum bantuan khas dua bulan gaji
15 November 2024, 6:22 pm