SAUDARA PENGARANG,
BERIKUTAN penularan wabak Covid-19 yang masih berleluasa di seluruh dunia, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini. Semua rakyat harus menyokong penuh usaha-usaha murni kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini demi memutuskan rantaian penyebaran virus Covid-19. Di bawah lanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 perlu diambil dengan lebih tegas lagi.
Syor menaikkan kompaun kepada pesalah juga perlu diberi sokongan kerana masih ada segelintir rakyat yang masih ingkar dan degil untuk memakai pelitup muka di tempat-tempat awam yang digariskan kerajaan. Kerajaan juga disaran membuat pemeriksaan lebih kerap di premis-premis perniagaan dan melakukan penguatkuasaan lebih tegas di kawasan awam bagi memastikan tiada lagi individu yang masih ingkar tidak memakai pelitup muka.
OUI SAL
Tanah Merah, Kelantan