Hasad, dendam ‘penyakit keramat’ - Utusan Malaysia

Hasad, dendam ‘penyakit keramat’

zulkifli jalil
ZULKIFLI JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUKILAN ini bukan bertujuan untuk saya ‘menggemparkan’ sesiapa. Yang saya sebutkan ini adalah yang nyata dan berkemungkinan. Kita mungkin tidak akan dijajah semula seperti mana British dahulu datang menjajah.

Tetapi penjajahan dan penghinaan ke atas kita boleh dibuat dalam pelbagai cara dan bentuk. Jika tiga benda ini tidak dibuang – lemah bersaing, penyakit hasad dengki dan dendam – akan menjadikan sebahagian besar kita tidak akan mencapai puncak kehidupan, sekali gus kestabilan yang diimpikan.

Saya percaya, kita orang Melayu berhak menepuk belakang kita sendiri. Tanggungjawab seluruh pemimpin Melayu terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Bukanlah niat saya untuk memperkecilkan peranan pemimpin kaum-kaum lain tetapi Melayu adalah tunjang dan teras bagi Malaysia. Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabillah.
Izinkan saya imbas kembali ungkapan Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika pada 1995 dalam perhimpunan agung UMNO semasa beliau presiden parti itu:

“Puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh berada di puncak seperti mana ramai yang terdapat di bahagian bawah puncak dan di dataran. Oleh itu, jika ada pergelutan di puncak, tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi mungkin juga semua akan terjatuh kerana pergelutan di puncak.

“Dalam perjuangan manusia, puncak tidak ditetapkan. Ia boleh ditentukan oleh pejuang sendiri. Dengan itu ada bangsa yang naik tidak begitu tinggi dan sampailah mereka ke puncak gunung perjuangan mereka. Kemudian mereka tidak boleh naik lagi.

“Ada bangsa lain yang tidak mampu mendaki gunung perjuangan sama sekali, bahkan tidak mempunyai niat atau cita-cita untuk mendaki ke mana-mana dan oleh itu terus tinggal di bawah, di dalam lembah.

“Tetapi ada bangsa yang bergerak sebagai satu pasukan, menyusun langkah secara teratur dan tertib, mempunyai ketua yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang jalan yang selamat untuk dijejak oleh ahli-ahli pasukannya, tidak lupa akan mereka yang di belakang dan di bawah serta bergerak berhati-hati secara terancang. Bangsa yang berpasukan, tertib ini pasti akan dapat sampai ke puncak perjuangan yang lebih tinggi.

“Bangsa yang tertib dan berpasukan kukuh ini, bangsa yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di puncak, bangsa yang mulia budayanya, akan menjadi bangsa yang agung, bertamadun tinggi, dihormati dan disegani.”

‘Penyakit belum terubat’

Epik-epik Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Raja Donan sehinggalah novel-novel klasik hingga ke kontemporari mengungkapkan banyak penyakit hasad dengki dalam kalangan orang Melayu. Pepatah Melayu berselirat merata memperkatakan “Air susu dibalas dengan air tuba; harapkan pegar, pegar makan padi; balik belakang, balik gagang; bau busuk tidak berbangkai; Berjalan peliharalah kaki, bercakap peliharalah lidah; Berkerat rotan, berpatah arang.”

Apabila seorang budak, Hang Nadim mencadangkan agar Temasik (Singapura) yang diserang todak tidak lagi berkubukan betis, tetapi batang-batang pisang, banyaklah ikan-ikan itu terlekat di batang pisang dan mudah untuk dibunuh. Kerana kebijaksanaannya, timbul iri dan dendam kalangan orang-orang besar lalu memberikan sembah kepada Raja bahaya budak bijak itu kepada raja nanti. Raja tanpa usul periksa termakan hasutan pembesar lalu Hang Nadim pun dibunuh.

‘Penyakit hati dan rohani’ ini menyebabkan berlakunya perpecahan umat Islam yang bermula pada tahun 11 Hijrah atau 632 Hijrah. Penyakit ini merentasi semua masyarakat dunia tidak kira Islam atau anutan agama lain. Dimanifestasikan dalam cara diskriminasi, pembersihan etnik, peperangan dan siri pembunuhan. Hitler di Jerman, Idi Amin (Uganda), Pinochet di Peru serta penyiksaan di Kashmir, Xinjiang, Rohingya di Myanmar.

Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit Melayu ini sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.
Ini diwakili dengki dan dendam. Kedua-duanya disingkatkan kepada 2Ds. Bagi beliau, penyakit ini tidak lain ialah:

‘The basic philosophy in the Malay heart has been this; that everybody should be equal inpoverty and misery, and that no one should be better off either in prosperity or social standing.’
Saya membangkitkan isu hasad dengki ini kerana inilah ‘penyakit keramat’ yang menyelubungi orang Melayu sejak sekian lama.

Dendam bukan sifat Mandela

Semalam ada rakan ‘pm tepi’ pada saya mengirimkan satu coretan. Judulnya “Dendam.” Saya paparkan:

“Pada suatu hari, Nelson Mandela yang sudah menjadi Presiden Afrika Selatan bersama dengan pengawal peribadi dan askarnya makan tengah hari di sebuah restoran. Mereka duduk di satu penjuru dan memesan makanan.

Selepas seketika, pekerja restoran menghidangkan makanan. Mandela ternampak seorang lelaki duduk di depan mejanya sedang menunggu makanan yang dipesan. Beliau kemudian mengarahkan askar untuk pergi menjemput lelaki itu untuk makan bersama beliau. Askar pun pergi menjemput lelaki tersebut. Lelaki itu membawa makanannya dan duduk berhampiran dengan Mandela.Tangannya kelihatan menggeletar sepanjang masa ketika makan dan selepas selesai, dia beredar dari situ. Lalu askar berkata kepada Mandela, “lelaki itu kelihatan sakit, tangannya menggeletar semasa makan.”

“Bukan, dia tidak sakit sama sekali,” jawab Mandela.

“Lelaki tadi adalah pengawal penjara semasa aku di penjara. Seringkali, selepas aku didera, aku akan menjerit dan meminta sedikit air untuk diminum.

“Inilah orang yang sama yang datang kepada aku dan kencing di atas kepala aku apabila aku meminta air minum.

“Jadi, dia kelihatan menggeletar kerana takut aku membalas dendam, sama seperti mana dia lakukan kepada aku dahulu kerana sekarang ini aku adalah Presiden Afrika Selatan”

“Tetapi itu bukan sifat aku dan tidak sekali-kali etika aku.

Mentaliti membalas dendam akan menghancurkan negara manakala mentaliti tolak ansur akan membina negara (The mentality of retaliation destroys states, while the mentality of tolerance builds nations).

Saya katakan, berbuat baiklah kepada orang lain sepanjang masa kerana tiada sesiapa tahu apa yang berlaku esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya