SAUDARA PENGARANG,
SAYA berkesempatan menemui adik Muhammad Syukur dan ayahnya, Khamis Jusoh pada Oktober tahun lalu ketika mereka terlibat dalam Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya.
Muhammad Syukur, seorang anak yang baik. Menghormati orang tua, mudah mesra. Selesa diajak bergambar walau dalam keadaan keletihan. Tunduk mencium tangan apabila bersalam. Ayah dan abangnya pula peramah, mesra dan melayan kerenah pengunjung dengan penuh sabar.
Namun baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita sedih yang menimpa keluarga itu apabila lebih 40 kerbau milik mereka di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu mati diserang penyakit hawar berdarah.
Susulan kejadian itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu bertindak menutup kandang kerbau milik keluarga berkenaan.
Kerugian dianggarkan lebih RM200,000, sudah tentu amat memberi kesan kepada mereka. Namun saya berpendapat, Muhammad Syukur lebih terkesan dengan tragedi itu kerana hubungan akrab antara dia dan haiwan-haiwan tersebut.
Muhammad Syukur pernah mengharumkan nama dengan aksi fotogenik bersama sekawan kerbau yang memenangi anugerah Asia Geographic pada 2018 dan terkini Imej Asia 2020 untuk Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh majalah Asian Geographic.
Selain bantuan JPV Terengganu, apa yang lebih diharapkan adalah sumbangan daripada pihak-pihak tertentu bagi meringankan beban keluarga terbabit.
Semoga keluarga itu terus tabah. Kepada Muhammad Syukur, saya harap adik dapat menerima takdir ini dengan semangat kuat.
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya