Hakisan pantai Melaka semakin serius - Utusan Malaysia

Hakisan pantai Melaka semakin serius

BERPULUH batang pokok di persisiran pantai Melaka tumbang berpunca daripada masalah hakisan pantai. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Melaka mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin serius.

Dalam tinjauan yang dijalankan pihak kami di Pantai Puteri, Tanjung Keling, didapati kira-kira 500 meter pantai tersebut telah terhakis manakala di Tanjung Dahan dekat Kuala Linggi pula 300 meter kawasan pantai.

Berpuluh batang pokok di persisiran pantai telah tumbang dan beberapa bangsal nelayan mengalami kerosakan diancam hakisan pantai. CAP bimbang kerana hakisan di kedua-dua kawasan berkenaan semakin hari semakin hampir dengan jalan raya dan rumah penduduk.

Keadaan yang berlaku sejak enam bulan lalu itu menimbulkan keresahan dalam kalangan nelayan kerana ranting pokok yang tumbang dan sisa kayu yang hanyut ke laut kerap tersangkut pada pukat mereka.

Kira-kira 200 nelayan turut menghadapi kesukaran untuk melabuhkan perahu kerana kawasan pantai yang terhakis telah runtuh dan menjadi curam.

CAP percaya jika masalah ini dibiarkan, kesan lebih buruk boleh berlaku pada masa akan datang. Hakisan pantai boleh merebak dengan meluas dan kemusnahan alam sekitar serta jumlah kerosakan harta benda pasti akan bertambah.

Justeru, CAP berharap kerajaan negeri, jabatan dan agensi berkaitan dapat menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca masalah itu. Fokus utama perlu diberikan kepada aktiviti penambakan laut dan laluan kapal-kapal dagang yang mungkin menjadi penyebab berlakunya masalah hakisan di negeri itu.

PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG
Georgetown, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya