SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat bebas untuk me-nyertai mana-mana parti politik yang berdaftar.
Bagaimanapun, pada pandangan saya, banyak kebaikan diperoleh sekiranya seseorang ahli akademik kekal bebas serta tidak menyertai mana-mana parti politik.
Peranan utama seseorang ahli akademik khususnya pensyarah bukan sahaja tertumpu pada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kampus, malah melakukan kajian dan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Segala matlamat itu sukar untuk dicapai sepenuhnya jika ahli akademik menyertai mana-mana parti politik yang mempunyai prinsip tersendiri yang dibimbangi boleh mempengaruhi kebebasan berfikir.
Setiap ahli akademik memerlukan kebebasan berfikir sepenuhnya dan meluahkan pandangan serta pendapat tanpa sekatan.
Apa yang lebih merisaukan sekiranya ahli akademik menyertai mana-mana parti politik, pandangan yang dikeluarkan mereka tidak akan dipandang dan didengar oleh orang sekeliling yang mungkin beranggapan ia hanya bertujuan memberi kelebihan kepada parti politik terbabit.
Namun, pendirian itu tidak bermakna ahli akademik mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi sewaktu pilihan raya nanti. Persoalan mengenai parti politik mana yang akan diundi ahli akademik, itu adalah rahsia.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nilai, Negeri Sembilan