Berbaloikah bayar 20 sen? - Utusan Malaysia

Berbaloikah bayar 20 sen?

CADANGAN untuk mengenakan caj 20 sen bagi setiap pembelian dalam talian dilihat membebankan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengeluarkan cadangan pemotongan 20 sen bagi setiap pembelian dalam talian, sudah pasti ia menimbulkan pelbagai tanggapan dan perdebatan.

Walaupun jumlah potongan 20 sen itu mungkin dianggap kecil oleh segelintir pihak, namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 melanda negara, kita tidak boleh menolak ia sedikit sebanyak membebankan rakyat. Rakyat yang menolaknya tidak salah, malah mempunyai pendapat sendiri. Begitu juga yang menerima cadangan tersebut, juga tidak salah kerana turut mempunyai pendapat sendiri.

Namun, cadangan kementerian itu mungkin bertujuan menyediakan talian komunikasi yang boleh dicapai di seluruh negara termasuk di luar bandar atau kawasan pedalaman pada masa depan.

Kita semua tahu, setelah sekian lama merdeka dengan pelbagai syarikat telekomunikasi menyediakan kemudahan talian dan komunikasi serta banyak pencawang, namun diakui ia belum menjamin 100 peratus pencapaian talian termasuk di bandar atau kawasan yang maju dengan pembangunan.

Jangan terkejut, di Damansara terdapat aduan pengguna sukar mendapat akses talian telefon. Dalam hal ini, kerajaan bukan sahaja perlu membuktikan potongan 20 sen itu bukan sahaja dapat menyediakan pencapaian akses talian 100 peratus sempurna, malah memberi pulangan lebih baik terutama kepada golongan pelajar.

Memang diakui untuk menyediakan talian pencapaian yang sempurna mungkin melibatkan bajet berbilion ringgit, namun jika langkah tersebut berbaloi terutama kepada masyarakat di pedalaman termasuk Orang Asli dan golongan pelajar, saya yakin rakyat tidak keberatan untuk menyokong usaha kementerian itu.

Namun, jika setelah setahun pemotongan 20 sen itu dilaksanakan tapi akses atau pencapaian talian telefon masih tidak sempurna, maka apakah kementerian sanggup menjanjikan wang rakyat itu akan dipulangkan?

Dalam pada itu, pencapaian talian 100 peratus sempurna bukan sahaja demi kebaikan pelajaran anak-anak di luar bandar, malah bermanfaat terutama apabila berlaku kecemasan yang memerlukan pertolongan sama ada ambulans, bomba, polis dan sebagainya.

Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mendekati rakyat dengan memberi penerangan serta berdialog sebelum langkah itu diambil. Saya yakin rakyat tidak akan menolak jika faedah yang diperoleh nanti sangat besar faedahnya berbanding potongan 20 sen itu sendiri.

Memang langkah mendekati rakyat bukan mudah termasuk berdialog dan bersemuka tetapi itulah penyelesaian terbaik. Yang perlu diingat, 20 sen itu adalah hak dan milik rakyat.

Difahamkan, langkah kementerian itu mendapat tentangan daripada menteri tertentu. Nasihat saya, menteri yang menentang cadangan itu sepatutnya menyerahkan keputusan kepada rakyat kerana itu hak mereka. Bagi rakyat pula, suarakan pendapat dan pandangan kerana 20 sen itu walaupun nilainya mungkin kecil tetapi ia adalah hak milik kita.

PEMILIK TELEFON LAMA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya