7 cadangan tingkat ekonomi negara - Utusan Malaysia

7 cadangan tingkat ekonomi negara

-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

‘Bahang’ politik negara sejak kebelakangan ini tidak sedikit pun menjejaskan hasrat kerajaan untuk terus memperjuangkan hak rakyat dan memajukan ekonomi negara. Meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19, ekonomi negara dijangka terus pulih melalui langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Zareen Humairah Sejahan dan jurugambar, Shiddieqiin Zon, Ahli Parlimen Pontian yang juga Setiausaha Agung UMNO, DATUK SERI AHMAD MASLAN berkongsi tujuh buah fikiran beliau bagi memperhebatkan ekonomi negara. Berikut sedutan wawancara berkenaan baru-baru ini:

 

UTUSAN: Bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi negara?

AHMAD MASLAN: Saya mempunyai tujuh cadangan. Pertama, tutup segala ketirisan pendapatan melalui khidmat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang lebih cekap. Misalnya baru-baru ini, JKDM berjaya membanteras penyeludupan berbilion ringgit oleh pihak yang cuba lari daripada cukai. Sekiranya ada kaedah moden untuk memeriksa kontena di pelabuhan dan lapangan terbang, maka lebih banyak penyeludupan tidak boleh terlepas. Kadang-kadang deklarasi dokumen kontena itu adalah barang yang tidak tinggi cukainya tetapi pihak sana melakukan pembohongan bagi mengelak dikenakan cukai yang tinggi.

Kedua, berkaitan JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sudah ada fail untuk dikongsi ketika kita melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) di mana ada perjanjian persefahaman (MoU) antara pihak kastam dan LHDN supaya mereka berkongsi maklumat. Ini kerana ketika GST dilaksanakan, kita tahu berapa nilai syarikat-syarikat yang membayar cukai kerana fail GST ini boleh membanteras pelarian cukai. Kini GST hanya digantikan dengan SST, maka fail itu masih ada dan masih boleh dirujuk supaya dapat mengelak penyelewengan.

Yang ketiga, mengenai hasil bumi. Saya difahamkan ada nadir bumi yang nilainya begitu besar iaitu trilion ringgit yang tidak mempunyai kesan radioaktif termasuk di Perak, Pahang dan Johor. Maklumat ini adalah maklumat kementerian. Saya harapkan Majlis Mineral Negara dapat mempercepatkan perkara ini. Badan diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli ini boleh memanggil beberapa kementerian dan kerajaan negeri bagi mengenal pasti hasil-hasil bumi, tidak terhad kepada nadir bumi sahaja tetapi sumber lain yang belum diterokai secara kapasiti penuh. Segala nadir bumi ini milik negeri tetapi lesennya milik Persekutuan. Ini boleh dijadikan industri hiliran di mana boleh dibuat kerajaan Pusat.

Cadangan keempat saya adalah Petronas memberikan dividen khas di mana tempoh hari Petronas memberi RM30 bilion untuk membayar pulang balik GST dan LHDN, menjadikan nilainya RM24 bilion. Tahun ini dikatakan syarikat itu akan memberikan RM24 bilion sahaja, namun ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, Petronas memberi RM54 bilion di mana terdapat RM30 bilion perbezaan. Kita faham Petronas memerlukan keuntungan itu untuk menerokai kawasan-kawasan baharu dan membiayai kos penerokaan minyak dan gas tetapi pada kita, ini adalah saat negara memerlukan hasil akibat pandemik. Maka saya kira Petronas boleh memberikan dividen khas. Ini bukan hanya untuk Petronas tetapi juga syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (KMD) dan syarikat-syarikat dibawah Khazanah Nasional Berhad. Selain dividen biasa, mereka harus meningkatkan produktiviti bagi meningkatkan juga hasil dan keuntungan supaya mereka boleh memberi dividen khas kepada kerajaan. Itu adalah sumber yang banyak.

Cadangan yang kelima, Malaysia harus menjadi hab e-dagang serantau seperti yang kita telah katakan pada zaman Barisan Nasional (BN) di mana kita ada MoU bersama Alibaba iaitu Jack Ma, e-dagang terbesar negara China dan salah satu terbesar dalam dunia supaya Malaysia menjadi hab e-dagang serantau. Kini, perkara itu tidak terjadi kerana pertukaran kerajaan. Jadi, kerajaan boleh menghidupkan kembali perkara ini kerana dalam situasi pandemik ini, sektor e-dagang meningkat serta Malaysia berpotensi menjadi pusat e-dagang dan kita oleh meningkatkan pendapatan negara.

Cadangan keenam, satu per empat makanan di Malaysia diimport. Import yang tinggi menyebabkan pengaliran wang keluar. Kalau kita tahu daripada pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jika import tinggi, maka pertumbuhan KDNK akan berkurangan. Jadi, kerajaan perlu pertimbangkan supaya ada pengganti import yang boleh diperhebatkan pengeluarannya di Malaysia. Sebagai contoh, daging dan produk tenusu. Walhal lembu, kerbau, kambing boleh hidup di Malaysia dan kita ada kelengkapannya. Kita berpotensi menjadi gedung makanan negara.

Yang ketujuh adalah mengadakan apa yang kita panggil sebagai reformasi sistem percukaian negara. Kita boleh buang cukai-cukai yang tidak perlu. Contohnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan tujuh cukai baharu dan naikkan tiga cukai lama hanya untuk menggantikan satu cukai iaitu GST. Cukai-cukai itu termasuk cukai jualan, cukai perkhidmatan, cukai digital, cukai soda, cukai pelepasan, cukai petak dan yang dinaikkan adalah cukai keuntungan hartanah (RPGT), duti setem dan cukai taksiran. Namun, hasil daripada cukai-cukai masih tidak seberapa. Kita perlu rombak sistem percukaian ini supaya tidak membebankan rakyat. Harus diketengahkan juga adalah keadaan semasa negara sebelum kita melaksanakan perkara ini dan rakyat juga harus bersedia. Sekiranya kita tidak mahu lagi GST, kita boleh perkenalkan cukai nilai tambah (VAT) untuk menggantikan cukai yang banyak tetapi ini terpulang kepada kerajaan. VAT dibuat di 170 negara. Ia adalah cukai yang boleh menggantikan GST. Saya cadangkan sekiranya VAT dilaksana, kita bermula dengan kadar yang rendah dan cukai-cukai lain yang berkadar tinggi dihapuskan.

 

Apa pandangan Datuk Seri pada pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Beliau mempunyai populariti yang tinggi. Beliau memang terkenal dan dihormati. Saya lihat beliau melaksanakan tugas dengan baik untuk negara dalam menangani Covid-19. Selain itu, beliau melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan baik. Beliau juga mempunyai pasukan yang kuat dan bagus. Cuma saya harap, menteri dan timbalan menteri berhati-hati kerana pembangkang akan mencari kesalahan. Saya harap mereka tidak membuat sebarang kesilapan kerana mereka adalah tumpuan rakyat. Jangan menyusahkan kita yang satu pasukan ini kerana kerajaan ini adalah kerajaan yang bermajoriti tipis. Kita harus berhati-hati supaya tidak tergelincir. Keadaan ketika ini tidak kukuh.

 

Datuk Seri yakin BN mampu bentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

BN berada dalam Muafakat Nasional (MN), iaitu satu gabungan yang penting dalam politik tanah air. Di dalamnya ada UMNO dan Pas sebagai teraju utama. Baru-baru ini, kita baru menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan baharu. Jadi, parti Melayu utama sudah ada dalam MN. Untuk PRU juga, kita akan guna MN. Mengikut kajian, kita boleh menang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN