Usah biarkan pelancongan kaku - Utusan Malaysia

Usah biarkan pelancongan kaku

GELAGAT pelancong yang mengunjungi Pulau Redang, Terengganu, minggu lalu. –UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh M. JASNI MAJED

RATA-RATA sudah mencongak yang industri pelancongan pada tahun ini sangat malap. Ramai bimbang jika situasi ini berterusan sampai tahun depan. Andaikan, jika beberapa negara sahaja bebas daripada Covid-19, belum tentu orang akan galak melancong. Orang takut hendak ke luar negara, bimbang terkena jangkitan. Negara yang bebas Covid-19 pun bukan mudah hendak menerima pelancong kerana bimbang virus dibawa masuk pula. Apa pun, sudah banyak kawasan pelancongan dibuka semula. Hal ini sangat penting agar industri terus berjalan demi kelangsungan ekonomi dan peluang pekerjaan.

TMM 2020

Menurut perancangan, tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2020) tetapi sudah dibatalkan ekoran penularan Covid-19. TMM bermula 1990, kali kedua pada 1994, seterusnya 2007 dan2008. Kali keempat pada 2014. TMM terus dirancang dan diadakan kerana negara memperoleh pendapatan yang tinggi hasil daripada kemasukan pelancong asing. Ironinya, TMM juga dapat mengelak rakyat tempatan melancong ke luar negara kerana kita mempunyai produk pelancongan sendiri.

TMM mengalami banyak cabaran dan halangan. Pada 2007, banjir besar berlaku di beberapa negeri di selatan tanah air yang menghalang kemasukan pelancong dan melumpuhkan pergerakan di kawasan-kawasan terbabit. Hal sama berlaku pada 2014 di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bagaimanapun, semasa TMM 2007 dianjurkan, negara kita dikunjungi 20.97 juta pelancong dengan pendapatan RM46.1 bilion. Pada 2014, kemasukannya berjumlah 27.4 juta dengan pendapatan RM72 bilion.

Kita masih menganggap angka ini sebagai satu peningkatan dan kejayaan memandangkan di samping masalah bencana alam, kita juga masih dibelenggu tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines, MH370 dan MH17.

BATAL

Kini, walaupun TMM 2020 dibatalkan, kita tetap berharap industri pelancongan negara tidak terbiar kaku tanpa usaha-usaha untuk memulihkannya. Dalam suasana Covid-19 sekarang, kita bersyukur kerana banyak kawasan pelancongan dibuka semula kepada orang ramai khususnya bagi pelancong tempatan.
Dalam suasana sekarang, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sangat penting bagi mereka yang terus melakukan aktiviti melancong. Hotel, chalet, pengangkutan dan setiap kawasan pelancongan pula mengenakan peraturan demi keselamatan pelancong. Rakyat juga digalakkan mengutamakan pelancongan domestik kerana kita lebih memahami situasi yang berlaku di negara kita. Ke mana pun kita pergi dan berada, kita mesti jaga kita!

 

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN