Tuntut ECRL ke jajaran asal - Utusan Malaysia

Tuntut ECRL ke jajaran asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

KETIKA Johor, Perak, Kedah dan Melaka bertukar kerajaan negeri setelah tumbangnya Pakatan Harapan (PH), Pahang di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kekal negeri yang tenang biarpun pernah 22 bulan menjadi pembangkang kepada kerajaan Pusat.

Ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN serta jurugambar AJIE MUSTAFA, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yakin Pahang kekal menjadi ‘deposit tetap’ BN dan Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU-15) berdasarkan sokongan kuat diterima gagasan itu.

 

UTUSAN: Adakah Pahang yakin akan terus menjadi ‘deposit tetap’’ BN dan MN pada PRU-15?

WAN ROSDY: Saya sangat yakin kerana sebelum ini pun UMNO walau tidak bersama dengan Pas, kita boleh memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita boleh mentadbir, apatah lagi apabila Pas bersama dengan UMNO dan MN termasuk MCA dan MIC.

 

Adakah Pahang membuat perancangan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN)?

Setakat ini kita tidak bincang lagi sebab perkara ini (PRN), kita kena rujuk kepada banyak pihak. Jadi saya tidak boleh buat keputusan sendiri, cuma saya boleh beri cadangan dan pandangan sahaja. Tapi buat masa ini, untuk Pahang tidak ada perbincangan berhubung perkara itu.

 

Sudahkah ada kesepakatan antara BN dan MN berhubung pembahagian kerusi pada PRU-15?

Bagi kerusi DUN, mungkin saya boleh bercakap sikit walaupun terpaksa atau harus merujuk kepada Presiden parti tetapi bagi kerusi Parlimen, setakat ini kita tidak bincang apa-apa lagi. Perkara ini pun saya tidak boleh putuskan secara bersendirian. Untuk DUN, saya telah beritahu kepada rakan-rakan bahawa kerusi yang ada BN, 24+1 (24 UMNO dan satu MCA). Pas ada lapan kerusi, itu pun status quo. Cuma yang harus kita bincangkan ialah sembilan lagi kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP. Di situ mungkin Pas, UMNO, MCA dan MIC boleh bincang untuk kita putuskan kepada siapa harus kita bagi. Ada merit-merit tertentu, ada sifir-sifir tertentu. Bagi Parlimen, belum dibincangkan secara khusus, bagaimanapun sembilan kerusi sedia ada (dimenangi UMNO) kekal (status quo). Yang kita hendak bincang lagi lima kerusi (yang dimenangi PKR, DAP dan Amanah).

 

PENCAPAIAN KERAJAAN PAHANG

Apa formula atau rahsia di sebalik kejayaan kenaikan 20 peratus hasil negeri atau pencapaian 120 peratus pada 2019?

Sebenarnya bila mengambil alih jawatan Menteri Besar, saya dapati kedudukan kewangan kerajaan negeri tidaklah begitu kukuh. Kerajaan negeri pula adalah pembangkang. Saya berpandangan, kerajaan negeri perlu berdikari. Perlu ada kedudukan kewangan yang stabil dan saya telah berbincang dan melihat keadaan ini. Saya dapati ada ruang-ruang untuk kita pertingkatkan hasil. Antaranya kenaikan cukai balak yang mana selama 31 tahun kerajaan negeri tidak menaikkan sementara kerajaan negeri Perak, Terengganu dan Kelantan telah menaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun.

Sehubungan itu, saya telah meminta pengarah perhutanan negeri membuat kertas untuk dibincangkan dalam mesyuarat Exco supaya satu kajian dapat dibuat, diperhalusi untuk tujuan menaikkan cukai balak. Hasil daripada itu, satu keputusan telah dibuat dan kerajaan negeri mengumumkan supaya cukai balak dinaikkan.

Namun begitu, kenaikan cukai balak masih rendah berbanding tiga negeri (Kelantan, Terengganu dan Perak). Alhamdulillah, kita dapat tingkatkan hasil kita.
Selain itu, kita juga melihat kepada kebocoran dan ketirisan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya dapat diperkemaskan dan pastinya tidak membebankan rakyat. Sebagai contoh, kenaikan cukai balak tidak terus kepada rakyat, hanya kepada industri dan saya percaya dan amat yakin mereka bersetuju dan menerima apa yang kerajaan lakukan. Oleh sebab itu, berlaku kenaikan hasil kerajaan negeri seperti mana yang dikatakan tadi, peningkatan 20 peratus.

 

PROJEK LANDASAN KERETA API PANTAI TIMUR (ECRL)

Berkenaan ECRL, boleh Datuk Seri ulas perkembangan terkini?

Ini adalah projek yang dicadangkan oleh kerajaan BN dan laluan jajaran yang dicadangkan telah mengambil kira keperluan, kepentingan dan faedah yang akan diperolehi penduduk setempat ataupun kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Malangnya apabila kerajaan PH mengambil alih, mereka telah mengubah laluan ini sampai memasuki Negeri Sembilan dan Putrajaya. Jadi saya nampak tindakan mereka lebih kepada emosi sedangkan kerajaan BN telah membuat satu kajian sangat terperinci. Sebagai contoh, kalau dapat kembali kepada jajaran asal, mungkin boleh kurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Karak. Pada masa sama, mungkin penduduk Bentong yang bekerja di Lembah Klang tidak perlu menyewa (rumah). Mereka boleh naik ECRL.

Dari segi pengangkutan kargo boleh diteruskan. Dalam masa yang singkat boleh sampai ke Pelabuhan Klang berbanding jajaran yang dicadangkan oleh kerajaan PH. Banyak faedahnya dan sebab itulah saya dalam mesyuarat fizikal negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya telah bangkitkan isu ini. Alhamdulilah, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menubuhkan jawatan kuasa teknikal yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan ahlinya adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Saya diberitahu, mesyuarat pertama telah diadakan antara KSN dan SUK dan nampak impaknya agak positif. Saya cuma mengingatkan lagi bahawa kerajaan negeri minta supaya kembali kepada jajaran asal bukan sesuatu yang baharu. Kerajaan negeri telah mengambil tindakan awalan seperti pengambilan tanah dan sebagainya. Jadi apabila PH mengambil alih pentadbiran, mereka ubah laluan dan saya rasa tidak patut dan tidak adil kepada kerajaan Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN