Tangani agenda seks bebas - Utusan Malaysia

Tangani agenda seks bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS beratus tahun negara yang satu ini dijajah, akhirnya 63 tahun lalu kita mengecapi kemerdekaan. Hari ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan, sama seperti 62 kalinya sebelum ini. Tetapi kita jangan selesa dengan laungan merdeka yang saban tahun berkumandang di Dataran Merdeka, tepat pukul 12.01 malam 31 Ogos. Dalam bersyukur dengan kemerdekaan yang berusia 63 tahun, kita mesti realistik bahawa penjajahan terus berlaku terutama dari sudut sosial dan budaya. Jangan terleka kerana penjajahan bentuk baharu sentiasa mengintai dan menyusup masuk dengan jenama yang juga baharu. Perlu berhati-hati dengan pembudayaan oleh liberalis dan sekularis yang membawa gaya hidup yang meruntuhkan agama, budaya dan moral.

KONDOM

Baru-baru ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kempen kondom percuma sebagai salah satu modul ‘pendidikan seks’ kepada golongan remaja. Pendidikan seks yang dimaksudkan ialah melakukan seks bebas tanpa berisiko – kelahiran anak luar nikah dan penyakit seperti HIV. Walaupun meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-63, tetapi sebenarnya kita tidak merdeka. Malah lebih teruk dijajah, kalau tidak bersuara atau menunjuk rasa terhadap penjajahan baharu ini. Malah, penjajahan ini lebih meruntuhkan kerana dilakukan dengan jampi mentera yang mengkhayalkan atas nama modenisasi.

Memang ada NGO Islam dan orang perseorangan yang bersuara tegas mengenai penjajahan ini. Misalnya pemikir-pemikir dari Ikatan Muslim Malaysia (Isma). NGO ini konsisten kerana pemikir mereka mampu membaca yang tersirat dan tersurat dalam agenda liberalis dan sekular. Tetapi seperti tiada suara daripada kepimpinan politik dan ‘peminat-peminat’ politik yang bergiat cergas di media sosial. Di mana mereka? Sebahagiannya ‘peminat politik’ lebih teruja dengan isu menteri tidak menjalani kuarantin dan perebutan kerusi politik. Kita faham dengan kecetekan mereka menanggap penjajahan yang menggugat nilai-nilai agama, budaya dan moral dalam kalangan warga.

Tetapi dalam kalangan pemimpin politik juga kelihatan terbius dengan agenda normalisasi yang melihat kerja-kerja merobek nilai-nilai tadi sebagai suatu perkara biasa.
Mereka seperti tidak curiga dengan frasa ‘pendidikan seks’ yang digunakan kerana menganjurkan atau menjadi pemangkin kepada seks bebas bukan pendidikan seks dari laras yang selari dengan agama dan budaya. Ini bukan satu pendidikan yang membina.

Semua agama menegah seks bebas, maka pendidikan seks mesti tidak terlepas daripada teras agama. Adakah mengedarkan kondom percuma satu modul yang selaras dengan agama terutama Islam? Kalau mereka berkata, ini bukan untuk orang Islam tetapi kenapa menggunakan remaja Islam sebagai ikon? Kawan saya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Sebahagian besar daripada mereka setuju dengan saya bahawa seks bebas adalah penyakit sosial yang mesti ditentang sekeras-kerasnya. Ini bukan isu Islam sahaja tetapi semua agama dan kaum, kata mereka.

KOLOT

Perlu diingat bahawa seks bebas bukan budaya, jauh sekali penanda aras moden atau kolotnya sesuatu masyarakat. Ini penyakit sosial yang memporak-perandakan dan meruntuh masyarakat.
Apakah bezanya usaha memberi kondom percuma untuk melakukan seks bebas dengan pesta seks bebas, arak dan muzik di Woodstock, Amerika Syarikat pada 15 hingga 17 Ogos 1969? Kedua-duanya pemangkin seks bebas. Cuma gaya hidup Woodstock diangkat dengan ‘penambahbaikan’, iaitu beri kondom percuma. Di Woodstock, tiada program kondom percuma.

Pendekatan agama dan moral adalah ubat paling mujarab untuk menyembuhkan penyakit sosial. Tetapi adakah penganjur kempen kondom percuma juga menganjurkan kempen melarang seks bebas secara besar- besaran? Maklumkan kalau saya tersilap. Jadi, usaha yang kelihatan murni ini bukanlah untuk menyembuhkan sosial. Ibarat orang menghidap kurap yang tidak mahu berubat, tetapi hanya menggunakan pakaian yang menutup kulitnya. Orang lain tidak nampak tetapi penyakit terus membiak dan dia sendiri tahu keadaan itu.

Ini antara agenda normalisasi yang ditujukan kepada masyarakat khususnya golongan Melayu Islam di negara ini. Kononnya mereka hendak memecah tabu dalam masyarakat, tetapi hakikatnya menyuntik agenda normalisasi. Caranya, melakukan suatu yang bertentangan secara konsisten hingga diterima sebagai sesuatu yang biasa. Hasilnya sudah menunjukkan kejayaan. Semua perkara kita anggap biasa. Masyarakat sudah hilang sensitiviti biarpun mempromosi seks bebas dengan sebebas-bebasnya. Kalau dulu remaja Melayu Islam tidak disekutukan dengan promosi seks bebas tetapi kini masyarakat menerima keadaan itu dengan terbuka.

Tidak lama dahulu, seorang wanita Melayu Islam menyaman teman lelakinya kerana tidak memakai kondom. Ini juga satu daripada normalisasi dan masyarakat tidak melihat kepelikan mendedahkan seks bebas kepada umum. Begitu juga dengan pengakuan seorang lelaki melakukan hubungan songsang dengan lelaki, seolah-olah pelakuannya itu suatu perkara biasa. Masyarakat sudah menerima sebagai satu yang biasa dan itulah kejayaan agenda normalisasi.

Mengambil semangat merdeka ke-63 tahun hari ini, perbaharuilah azam untuk menikmati kemerdekaan yang sebenarnya. Membiarkan agenda yang memusnahkan agama, bangsa dan negara dilakukan dengan bebas adalah antara ciri-ciri tidak merdeka.

PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya