‘Saya cara saya, Nik Aziz cara dia’ - Utusan Malaysia

‘Saya cara saya, Nik Aziz cara dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
RAMAI berpandangan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ‘cukup lembut’, kurang popular selain tidak lantang dan tegas sebagaimana Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dahulu, setiap perkataan dan kenyataan yang keluar daripada mulut Nik Abdul Aziz, khususnya berkaitan isu-isu politik akan menjadi tajuk utama berita. Namun selepas pemergian Nik Abdul Aziz ke rahmatullah pada 2015, suasana sedemikian sudah tidak ada lagi. Ini kerana pendekatan Mursyidul Am Pas kini dilihat lebih lembut termasuk ketika berhadapan dengan musuh-musuh politiknya.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB di Kompleks Pas negeri di Kangar, Perlis baru-baru ini, Hashim menjelaskan mengapa beliau selama ini menggunakan pendekatan lebih lunak dalam berhadapan apa jua situasi.

UTUSAN: Ustaz dilihat terlalu lembut dan tidak selantang Nik Abdul Aziz.
HASHIM: Masing-masing ada cara dia. Semasa Tok Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Mursyidul Am Pas, dia mempunyai kuasa politik sebagai Menteri Besar Kelantan. Selepas itu, Datuk Haron Din sebagai Mursyidul Am yang memiliki sifat dan peribadi cukup dihormati kawan dan lawan. Apabila saya diamanahkan mengambil alih jawatan mereka, saya tidak ada keistimewaan seperti dua tokoh tersebut. Jadi saya mengambil sikap lembut, ertinya tidak serang musuh politik saya. Saya hanya jalankan tanggungjawab berdasarkan perlembagaan parti dengan apa yang parti tentukan, saya laksanakan, itu sahaja.

Umur ustaz mencecah lebih 80 tahun, adakah ustaz akan bertanding lagi dalam pilihan raya akan datang ?
Secara peribadi, saya sudah tidak mahu lagi bertanding berdasarkan faktor kesihatan dan kemampuan. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya sememangnya sudah tidak mahu bertanding, namun Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dalam satu ceramah mengumumkan saya bertanding di Parlimen Arau pada PRU-14, maka saya tidak bercanggah dengannya.

Ramai melihat Pas seolah-olah menyepi dalam beberapa isu seperti kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 meskipun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Benarkah?
Kes Muhammad Adib patut dihidupkan semula (siasat kembali). Dia yang menjalankan tugas telah terkorban sehingga memberi kesan kepada seluruh rakyat. Selain keluarga, rakyat juga mahu keadilan dalam kes itu. Kita kena buka semula kes tersebut mengikut proses undang-undang sedia ada.

Bagaimana dengan RUU 355?
Kerja kita banyak. Kita tidak boleh buat semua kerja dalam satu-satu masa. Mesti ada keutamaan yang mana perlu didahulukan. Apabila kita berjaya laksanakan dua perkara besar, akan menyusul lagi perkara keempat, kelima. Biar kepimpinan membuat pertimbangan bila ia (RUU 355) sesuai dilaksanakan.
Kita lihat sampai ada orang tulis di Facebook: Pas dah sampai Putrajaya, bila nak buat hudud? Bukan bererti kita tolak hudud tetapi apa keutamaan yang perlu didahulukan.

Apa pendirian Pas, sama ada memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) atau lebih selesa bersama Perikatan Nasional (PN) seterusnya menjalinkan kerjasama dalam PRU-15?
Kita ada mesyuarat setiap minggu di peringkat PN. Pas diketuai Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam mesyuarat berkenaan. Jika diikutkan UMNO dan Pas (kerjasama) lebih mudah tetapi apabila Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) masuk, ia memerlukan perkiraan lain. Saya rasa keputusan mengenainya akan diputuskan selepas selesai segala perbincangan melibatkan parti-parti dalam PN. Cuma saya masih ingat pendekatan Allahyarham Datuk Fadzil Noor (bekas Presiden Pas) ketika mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP dahulu. Dia (Fadzil) kata, dasar kita apabila bersatu iaitu tidak ikat kuat, kita longgarkan. Dengan DAP kita bersama tetapi ikat tidak kuat. Apabila kita hendak buat Islam, dia (DAP) menentang. Kita keluarlah (gabungan) pada masa itu.

Adakah Pas bersedia mengorbankan kerusi kepada Bersatu khususnya di Kelantan, Kedah dan Terengganu sekiranya PN terus menjalinkan kerjasama dalam PRU-15 ?
Pembahagian kerusi merupakan salah satu masalah melibatkan semua parti. Namun jika semua mengikut keputusan kepemimpinan setiap parti, kita akan dapat menyelesaikan masalah ini.

Jika dilihat sebelum ini, kerjasama Pas dengan mana-mana parti politik tidak pernah kekal. Adakah ustaz yakin kali ini MN atau PN akan kekal lebih lama?
Saya lihat kerjasama ini akan lebih kukuh jika Pas, UMNO dan sebahagian daripada Bersatu menganggap musuh kita di hadapan sebagai musuh bersama. Bersama-sama menghadapi musuh akan menguatkan kerjasama ini.

Pas sekarang dilihat kekurangan pelapis yang mempunyai aura seperti zaman Pemuda Pas dibarisi Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Salahuddin Ayub?
Saya tidak anggap ketiga-tiga mereka ini dahulu sebagai pelapis yang hebat. Pendapat saya ini bukan disebabkan mereka sudah keluar parti, tetapi dari sebelum ini lagi. Saya selalu menghadiri mesyuarat bulanan peringkat Pas Pusat dan memerhatikan mereka bukan pelapis yang boleh diharapkan. Sekarang, mungkin semua dapat lihat ramai pelapis yang menonjol dalam Pas. Antaranya Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari. Dari cara dia berhujah dalam Parlimen sangat baik dan tidak lari dengan cara Islam. Malah golongan ulama sendiri ada banyak pelapis dalam Pas.

Bagaimana pendekatan Pas untuk menarik sokongan orang ramai terutama bukan Islam yang melihat Pas sebagai ekstremis agama ?
Kita sudah buat, antaranya menawarkan kursus Diploma Tasawur Islam dan ada orang bukan Islam yang hadir kursus itu. Antaranya Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), N. Balasubramaniam yang kini dilantik sebagai Senator Dewan Negara. Mereka yang menuduh Pas ekstrem akan nampak bagaimana kita menerima bukan Islam. Memang dalam sesetengah perkara kita keras dan banyak perkara juga yang kita bertolak ansur. Insya-Allah, orang bukan Islam akan lebih dekat dengan Pas dari semasa ke semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya