Retrospektif sedekad TV AlHijrah - Utusan Malaysia

Retrospektif sedekad TV AlHijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Sebenarnya saya sudah lama bercakap dan menulis mengenai filem dan kandungan televisyen yang patuh syariah. Kandungan berkonsep demikian tidak menggunakan belanja tambahan, maknanya tidak menjejaskan syarikat produksi atau stesen televisyen. Tetapi agak malang saya dikatakan idealis – bermimpikan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan. Dalam pemikiran sesetengah pihak, televisyen dan filem ada wilayahnya tersendiri dan mewajarkan pelanggaran nilai agama dan norma budaya.

Sejak kita mengenal televisyen hitam putih pada 1963, akhir 1970-an datang teknologi warna dan sekarang sudah menggapai teknologi digital, tetapi acuan kandungan dari Barat tetap tidak berubah. Televisyen tidak menjadi refleksi sosiobudaya dan agama yang berlaku dalam masyarakat.

HEDONISME

Kandungan televisyen sarat dengan hedonisme, bukan persepsi tetapi realiti. Televisyen diposisikan sebagai eskapisme dari realiti keperitan hidup ke ruang khayal yang menyeronokkan. Ini hanya pil penahan sakit bukan penawar yang lestari kesannya.

10 tahun lalu apabila kawan saya, Allahyarham Datuk Bukhari Che Muda membisikkan akan lahir stesen televisyen patuh syariah, saya menjadi orang yang sangat gembira. Sebenarnya itu satu keberanian yang sangat luar biasa. Seperti tidak percaya pun ada juga.

Dalam keadaan banyak stesen televisyen menjadi ladang hedonisme, tentulah cabaran besar bagi yang cuba mengalih arus besar itu. Dengan kebiasaan menerima ‘kelonggaran’ terhadap pelanggaran moral, adab dan agama, tentu akan bertempik golongan yang sudah lama terpesona.

Khamis lalu (1 Muharam 1442 Hijrah) genap 10 tahun TV Al Hijrah, iaitu stesen televisyen patuh syariah pertama di negara ini. Dikendalikan oleh Alhijrah Media Corporation, syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri. Tentunya stesen kecil ini bukan mewujudkan persaingan tetapi menawarkan pilihan, sekali gus perintis kepada satu penghijrahan.
Stesen televisyen ini pada relatifnya kecil dari segi fizikal. Tetapi sangat besar dari sudut gagasan meluaskan syiar Islam dan menghamparkan teras cara hidup untuk Islam dan bukan Islam.

PERUBAHAN

Tetapi seperti biasa, bukan semua bertaraf jauhari yang mengenal manikam malah terlindung di sebalik kemilau budaya pop yang lebih menyihirkan. Itu kebiasaan lama yang tidak mahu ditinggalkan. Selama sedekad juga stesen televisyen ini menjadi pilihan penonton yang mencari isi kandungan yang menggali pemikiran serta falsafah Islam. Selebihnya menekankan etika berpakaian, aurat dan adab pergaulan lelaki dan wanita. Inilah pembaharuan yang dibawa dengan moto Segalanya Bermula Di Sini. Golongan penontonnya berkualiti termasuk dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Sebenarnya saya rapat dengan TV AlHijrah apabila tiga kawan saya secara kebetulan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) stesen itu – Allahyarham Bukhari, Datuk Wan Alias Abdullah dan Datuk Izelan Basar. Mereka sering berkongsi dengan saya cabaran dan impian untuk ‘menegakkan’ tiang seri TV AlHijrah. Apa yang fikir perlu ditegur, saya menegur dan Allahyarham Bukhari misalnya, seorang yang sangat terbuka. Saya tidak ada kepentingan dalam TV AlHijrah tetapi sangat teruja menyambut kelahirannya. Ini satu langkah yang sangat bermakna dilakukan oleh kepimpinan ketika itu. Allahyarham Bukhari sangat realistik dengan cabaran di depannya tetapi mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap isi kandungan berkonsep Islam. Malah sangat faham tentang rating yang menjadi pembaris sesebuah stesen televisyen dan manipulasinya yang sangat dahsyat.

Menzahirkan stesen televisyen patuh syariah ketika banyak stesen lain berlumba-lumba meniru Barat bukan satu paradoks tetapi keberanian, keyakinan dan tanggungjawab memanfaatkan kesempurnaan Islam. Saya percaya, TV AlHijrah tidak diwujudkan kalau hanya berteraskan kepentingan ringgit dan sen. Ini kerana tidak semua kejayaan boleh diukur dengan banyak dan sedikit angka. Malah tidak adil stesen ini diukur dengan pembaris yang digunakan mengukur stesen televisyen lain.

KREATIF

Ada dua perkara besar yang boleh diangkat daripada keberadaan TV AlHijrah dalam dunia penyiaran negara ini.

Pertama, menggerak gagasan mendaya usahakan kandungan kreatif televisyen berkonsep Islam. Apabila disebut konsep Islam, sudah tentu berkaitan tiga prinsip utama – akidah, akhlak dan syariah. TV AlHijrah adalah pencetus. Wacana kandungan kreatif berkonsep Islam harus melampaui keberadaan TV AlHijrah. Sebaliknya sebagai tanda mula satu gagasan besar untuk menyuntikkan nilai kehidupan berteraskan Islam.

Kedua, bertepatan dengan kesedaran Islam yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat. Sudah lebih 30 tahun berdirinya universiti Islam bertaraf antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sistem perbankan Islam kita yang diiktiraf di dunia dan penghasilan barangan halal yang menguasai pasaran tempatan dan luar negara. Penerbitan kandungan televisyen patuh syariah melengkapkan prasarana sosial dan spiritual yang terbina itu. Industri kandungan kreatif dunia bernilai berbilion dolar dan kita wajar menjadi pemain dengan menjadikan gaya hidup dan pemikiran Islam sebagai kerangka asasnya.

Oleh yang demikian, kepimpinan tertinggi, pasukan karyawan dan tenaga insan TV AlHijrah mesti memahami hakikat ini. Jangan menari mengikut rentak stesen lain kerana TV AlHijrah adalah perintis, bukan pengikut. Yang penting kompas dulu jangan dilupa. Walaupun buruk tetapi amat berguna.

 

PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya