MUKADIMAH
UTUSAN Malaysia berkesempatan menemu bual dua orang kuat politik dari Sabah, DATUK SERI BUNG MOKTAR RADIN dan DATUK MOHD. AZIS JAMMAN. Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bakal diadakan pada 26 September ini, maka berkobar-kobar mereka ‘mempromosikan’ kelebihan parti masing-masing.
Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Mohd. Azis sebagai Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) ada congakan dan pengamatan tersendiri mengapa parti masing-masing wajar dipilih menerajui Negeri Di Bawah Bayu. Bung Moktar nampak steady sahaja dan begitu yakin. Malah dia berselamba mendakwa Warisan sebagai parti yang tidak membantu rakyat.
Mohd. Azis pula kelihatan sedikit cuak pada mulanya kerana menganggap Utusan Malaysia adalah ‘alat UMNO’. Bagaimanapun, lama-kelamaan rancak pula beliau mengutarakan hujahnya mengapa Warisan perlu diterima kembali oleh rakyat Sabah.
Ikuti temu bual wartawan ASLINDA NASIR dengan kedua-duanya di Parlimen dan Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana kedudukan Barisan Nasional (BN) di Sabah?
BUNG MOKTAR: BN telah menggerakkan jentera parti dan saya berkeyakinan tinggi kita dapat menawan hati rakyat bagi mencapai kemenangan. Sebab rakyat sudah melihat sendiri bagaimana Warisan gagal menguruskan ekonomi dan gagal membangunkan Sabah sendiri. Mereka tidak menunaikan janji seperti manifesto yang dibentangkan Pakatan Harapan (PH). Tiada ruang pekerjaan diberikan, peningkatan taraf ekonomi pun tiada, beri kemudahan kepada rakyat pun tiada.
Jadi, inilah peluang untuk Sabah memilih kerajaan baharu di bawah kepimpinan baharu. Sebab kalau kita lihat pada hari ini pun, rakyat inginkan perubahan untuk Sabah dan kalau BN buat tawaran baharu, saya yakin ia akan dapat dijelaskan dalam masa lima tahun. Jika kita tidak dapat tunaikan, rakyat boleh menolak kita pada bila-bila masa. Cuma, saya yakin tawaran ini bukan seperti yang dilakukan oleh PH dan Warisan.
Apa dilakukan BN selama 26 tahun?
Pembangunan di Sabah siapa yang buat? Bukankah sewaktu BN dahulu? Cuma banyak lagi perkara yang masih belum terlaksana. Sebab itu bila saya datang menjadi ketua, kita mahu merubah cara kepemimpinan pentadbiran dan mengurus negeri serta rakyat. Kita akan ubah dan tidak macam dahulu di mana pemimpin susah ditemui, pemimpin tidak melihat isu rakyat. Bagi pemimpin, soal jambatan putus itu kecil tapi pada rakyat, itu masalah besar.
Jadi saya akan buat dalam kepemimpinan baharu ini. Kita beri jaminan untuk sediakan perkhidmatan yang terbaik bagi membangunkan Sabah serta jaminan keselamatan kepada rakyat sendiri.
Apa tawaran BN pada PRN kali ini?
Ada beberapa tawaran. Antaranya semua peruntukan agihan projek di Sabah mesti dirancang oleh kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan hanya perlu menyediakan peruntukan berbentuk wang tunai kepada kerajaan negeri dan biarkan kami sendiri tentukan projek mana yang perlu diutamakan.
Kedua, semua agensi Persekutuan dipegang anak Sabah. Ketiga, kita akan masukkan semula Labuan ke dalam Sabah.
Dari aspek pembangunan, kita akan pastikan pembangunan seimbang dengan Persekutuan supaya Sabah tidak lagi berbicara pasal jalan raya, elektrik dan air bersih.
BN sudah bersedia beRtanding pada PRN kali ini?
Ya. Kita yakin. Kita yakin menang dengan majoriti (besar). Cuma setakat ini, kita ingin bincang mengenai pengagihan kerusi.
UTUSAN: Apa perkembangan terkini Warisan?
MOHD. AZIS: Kita imbau kembali dua tahun Warisan jadi kerajaan di Sabah. Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-14) menyaksikan Warisan and friends memperoleh 29 kerusi, BN dapat 29, Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) dapat dua, maka rundingan berlaku pada ketika itu.
STAR ada hubungi Presiden parti untuk menyatakan kesediaan bersama dengan kita. Hari berikutnya, dia tukar ke sebelah sana pula. Ini bermakna Tan Sri Musa Aman (bekas ketua menteri) mendakwa dia ada 29 pengundi tambah dua. Logiknya, dia ada nombor.
Namun apa yang jadi pada hari sama, enam ahli Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pula keluar dari BN untuk bersama-sama kita membentuk kerajaan, jadi kita dapat majoriti. Pertikaian yang timbul pada masa itu adalah kedudukan ketua menteri dipersoalkan, kemudian keluar masuk mahkamah. Tapi bila mahkamah menetapkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Presiden Warisan) sebagai ketua menteri yang sah dari sudut undang-undang, pertikaian masih berlaku. Mereka menyatakan Warisan tidak mendapat mandat rakyat.
Tapi kita pun boleh sebut yang Musa bukan mendapat mandat rakyat sebab kalau dirungkai kembali sejarahnya, STAR pada masa itu berkempen untuk pastikan riwayat UMNO dihapuskan dari bumi Sabah. Peranan STAR juga ketika itu perlu mendapat sokongan untuk keluarkan UMNO.
Mengapa UMNO ditolak?
Walaupun UMNO sudah memerintah Sabah selama 26 tahun, penduduknya masih menjadi rakyat termiskin. UMNO juga terpalit dengan isu 1MDB, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Itu yang berlaku di peringkat nasional. Tapi di Sabah, sentimen tempatan semakin kuat. Ditambah pula lahirnya Warisan untuk mengembalikan parti pemerintah yang lokal, ia menjadi semakin kuat.
Ramai mengkritik slogan Warisan iaitu Sabah for Sabahan. Komen Datuk?
Slogan kita bukan Sabah for Sabahan tapi Sabahan for Sabah. Ini bermakna kita tawarkan parti Sabah untuk orang Sabah. Kita membentuk satu negara yang berbilang kaum dan saling melengkapi. Cuma bila UMNO bertapak di Sabah, perlu diakui kita yang menjemput mereka dengan harapan UMNO sebagai sebuah parti besar yang telah memerdekakan negara daripada penjajah dan membangunkan Semenanjung ke tahap yang baik. Pengalaman itu mungkin dapat membantu kita di Sabah.
Tapi apa yang berlaku selepas 26 tahun bertapak di Sabah? Tak jadi macam apa yang kita harapkan. Mana silapnya? Daripada kesedaran itulah, sudah sampai masa untuk menawarkan parti pimpinan Sabah yang tidak lagi bergantung kepada UMNO. Itu (maksud) slogan kita.
Kalau Sabahan for Sabah bermakna Sabah untuk semua orang. Oleh sebab itu kita terbalikkan, bagi maksud yang berbeza.
Bila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran di Semenanjung, adakah ia memberi kesan kepada politik di Sabah?
Bila PN memerintah dengan jumlah majoriti yang kecil, mereka mengharapkan sokongan daripada Warisan tapi umum mengetahui, ramai ahli Parlimen disogokkan dengan pelbagai tawaran.
Ada orang bertanya, kenapa Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibubarkan? Kita ambil alih kerajaan dengan jumlah majoriti yang begitu kecil, mengakibatkannya tidak sihat untuk politik negeri. Jadi Presiden parti nak bubarkan dan beranggapan keadaan sebegini tidak cukup baik untuk Sabah. Lagi pula berhadapan dengan Covid-19, pelabur susah nak masuk, pelancong tidak boleh keluar masuk. Jadi ini tidak akan membantu kerajaan negeri untuk fokus memajukan Sabah, sama ada kita atau pihak di sebelah sana.
Benarkah ekonomi Sabah tidak berkembang di bawah pemerintahan Warisan?
Saya sangkal dakwaan itu sebab dunia tahu, dalam tahun pertama kita jadi kerajaan, kedudukan ketua menteri dipertikai. Kakitangan kerajaan menjadi serba salah sebab mereka tertekan, siapa sebenarnya ketua menteri? Ada dalam kalangan mereka yang takut nak beri kerjasama dengan Mohd. Shafie kerana bimbang jika Musa ambil alih, mereka ibarat akan dihukum berikutan menyokong kerajaan Warisan.
Kalau nak cakap ekonomi Sabah merosot, kita akui hakikat itu. Sebab itulah, bila kita ambil alih, perkara pertama yang dilakukan ialah mengharamkan eksport kayu balak. Kenapa kita hentikan eksport? Sebab Sabah kaya dengan sumber kayu balak tetapi industri hiliran kita tiada. Jadi, adilkah untuk salahkan kita? Kalau nak bandingkan, biar epal dengan epal. Mana boleh bandingkan Warisan mentadbir dua tahun dengan 26 tahun di bawah BN.
Warisan sudah bersedia hadapi PRN Sabah?
Kita yakin rakyat Sabah bijak dan mampu menilai rekod kita walaupun baru dua tahun memerintah. Saya percaya, insya-Allah terbukti pemimpin Warisan berprinsip. Saya yakin ini antara perkara yang membuka mata rakyat. Pemimpin kita tiada kepentingan peribadi sebaliknya mahu memperjuangkan nasib rakyat. Ini antara pertimbangan rakyat kepada pemimpin yang boleh diletakkan harapan dan kepercayaan untuk terus memimpin Sabah. Kita sangat yakin.
Yang lompat parti, mereka ada pandangan sendiri. Walau apapun alasan mereka, biar rakyat menilai. Jangan anggap rakyat senang untuk diperbodohkan.