SAUDARA PENGARANG,
Syabas kepada kerajaan kerana tidak jemu membantu penduduk peribumi. Terbaharu, Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB). Difahamkan majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasakan pembangunan sosioekonomi bumiputera. Antara tumpuan utamanya menangani jurang kekayaan dan pendapatan antara bumiputera dan kaum lain yang semakin melebar.
Selepas majlis itu secara rasmi ditubuhkan, saya yakin akan dikeluarkan pelbagai pelan tindakan untuk memperkasakan sosioekonomi bumiputera. Walaupun perancangan terbabit memang nampak terbaik dari segi teori atau atas kertas, saya ingin bertanya, adakah pelaksanaannya juga terbaik? Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banyak badan diwujudkan dan pelbagai pelan tindakan dikeluarkan tetapi masih gagal meningkatkan sosioekonomi bumiputera kerana pelaksanaannya amat lemah.
Oleh itu, usaha memperkasakan sosioekonomi bumiputera perlu bersifat holistik yang terbaik dari segi teori dan juga pelaksanaan. Jadikan kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mencapai objektifnya sebagai iktibar. Kajilah kenapa DEB gagal? Puncanya kerana kita gagal mengubah sikap bumiputera. Sikap bumiputera yang mahu kaya dengan cepat melalui jalan singkat termasuk sanggup menjual permit dan lesen serta mengambil rasuah adalah punca semua perancangan gagal.
Terdapat juga faktor lain yang menyebabkan banyak syarikat bumiputera lingkup. Antaranya kerana kita orang Melayu sendiri tidak mengutamakan perkhidmatan dan membeli produk bumiputera. Alasannya kerana perkhidmatan dan produk bumiputera lebih mahal. Jika kita tidak sanggup berkorban mengeluarkan wang lebih bagi membantu syarikat bumiputera, segala usaha kerajaan tidak akan berkesan.
HANG NADIM
Seberang Perai