PLKN wajar dihidupkan semula - Utusan Malaysia

PLKN wajar dihidupkan semula

LATIHAN fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api dan latihan ketenteraan.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyokong penuh cadangan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini agar kerajaan mengembalikan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Seperti kita sedia maklum, PLKN ditubuhkan pada 2004 dengan penyertaan seramai 885,956 belia sehingga 2018. Program yang dilaksanakan adalah gabungan latihan ketenteraan dan penanaman nilai-nilai patriotik kepada generasi muda.

Program itu berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan di beberapa negara lain, sebaliknya menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi. PLKN juga bertindak sebagai satu mekanisme bagi pembentukan disiplin diri remaja. Program itu yang melibatkan pelbagai kaum dapat memperkukuhkan integrasi nasional. Remaja pelbagai kaum, budaya dan agama dihimpunkan dalam satu wadah bagi menyuburkan semangat perpaduan.

Program yang dilaksanakan dalam PLKN meliputi modul-modul tertentu termasuk latihan fizikal, kursus bina semangat dan perwatakan serta khidmat masyarakat. Latihan fizikal PLKN tidak membabitkan penggunaan senjata api dan latihan ketenteraan. Sebaliknya remaja akan belajar berkawad, tempur tanpa senjata, pertolongan cemas, merentas halangan dan kegiatan sukan. Melalui asas ketenteraan ini, para remaja didedahkan dengan kemahiran kepemimpinan dan ikhtiar hidup.

PLKN juga akan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan lepasan sekolah kerana mereka tidak boleh lagi menghabiskan waktu dengan melepak bersama rakan-rakan di tempat-tempat awam.
Secara tuntasnya, program yang dijalankan sebelum ini memang mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada remaja mahupun negara. Justeru, kerajaan harus mengaktifkan semula PLKN demi melahirkan lebih banyak generasi muda yang cemerlang dan cintakan negara.

MUHAMMAD AFIQQ NOH
Pengerusi Alumni PLKN Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya