Persona non grata: Apa kata undang-undang? - Utusan Malaysia

Persona non grata: Apa kata undang-undang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Datuk Salleh Buang

Seorang wartawan akhbar tempatan bertanya minggu lalu, apakah tindakan kerajaan mengusir warga Bangladesh bernama Mohamad Rayhan Kabir baru-baru ini (ekoran penyiaran satu dokumentari Al Jazeera) merupakan satu tindak balas kerajaan terhadapnya dengan menggunakan prinsip persona non grata?

Saya jawab: “Boleh dilihat dari sudut itu tetapi sebenarnya persona non grata ini adalah satu amalan diplomasi melibatkan hubungan diplomatik antara negara kita dengan negara lain.”
Istilah persona non grata (bahasa Latin) bermaksud orang yang tidak dihargai (dalam bahasa mudah, orang yang tidak disukai).

Di bawah Artikel 9 Konven-syen Vienna Mengenai Hubu-ngan Diplomatik 1961, sebuah negara yang menerima kedatangan seorang diplomat asing (dipanggil “negara penerima”) boleh pada bila-bila masa tanpa menyatakan apa-apa sebab mengisytiharkan seorang di-plomat asing itu sebagai persona non grata. Akibat perisytiharan itu, diplomat asing tersebut tidak boleh terus tinggal di negara ini dan hendaklah dibawa balik oleh kerajaannya ke negara asalnya (dipanggil “negara penghantar”). Andainya negara asalnya enggan mengambilnya balik, diplomat asing itu tidak lagi akan diiktiraf sebagai anggota misi atau kedutaan negara asing tersebut. Dia sudah menjadi seperti orang biasa, bukan lagi seorang diplomat.

Perlu diingat bahawa seorang diplomat asing itu tidak tertakluk kepada undang-undang biasa negara ini. Misalnya, jika seorang diplomat asing itu melakukan jenayah (seperti melakukan penipuan atau mencederakan oleh lain) di negara ini, dia tidak boleh diheret ke mahkamah kerana sebagai diplomat asing, dia menikmati kekebalan diplomatik. Bagaimanapun, andainya kerajaan negaranya sendiri telah menarik balik (memba-talkan) status diplomatik orang itu, kekebalan diplomatik yang dinikmati olehnya berakhir dan dia boleh diheret ke mahkamah kita.

 

Bukan diplomat

Dalam kes melibatkan Rayhan Kabir, warga Bangladesh itu bukan seorang diplomat. Dia hanyalah seorang pekerja asing yang dibenarkan bekerja di sini. Ekoran penyiaran dokumentari Al Jazeera itu, satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap-nya. Dia kemudian ditangkap dan permit kerjnya dibatalkan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud selepas itu membuat kenyataan bahawa Kabir akan diusir dan disenarai hitam (bermakna dia tidak akan dibenarkan beker-ja lagi di negara ini pada masa depan).

Sebuah akhbar Bangladesh, Daily Star selepas itu memetik Kabir sebagai berkata: “Saya tidak melakukan apa-apa jenayah. Saya tidak cakap bohong. Saya hanya cakap tentang diskriminasi terhadap migran. Saya mahu maruah migran dan maruah negara saya dihormati.”

Pada 29 Julai lalu, peguam Selvarajaa Chinniah dan Sumitha Shaanthini memberitahu wartawan bahawa mereka sempat menemui anak guam (Kabir) dan dia telah memohon maaf kepada kerajaan Malaysia kerana bukan niatnya menuduh kerajaan me-lakukan diskriminasi terhadap pekerja asing.

“Dia bersedia untuk pulang ke negaranya pada bila-bila masa kerajaan Malaysia mahu kerana dia pun ingin pulang ke tempat asalnya dan bersama ahli keluarganya,” tambah mereka.

 

Diplomat asing

Diplomat asing pertama yang diisytiharkan persona non grata oleh kerajaan Malaysian dalam tempoh terdekat adalah Duta Besar Korea Utara ke negara ini, Kang Chol. Tindakan kerajaan dipercayai berpunca daripada tindakan diplomat tersebut membuat tuduhan ke atas negara ini mengenai kematian Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 13 Februari 2017. Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ketika menunggu penerbangan untuk ke Macau selepas dua wanita warga Indonesia dan Vietnam me­nyembur dan menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Kang Chol kemudian gagal hadir di Wisma Putra (Kementerian Luar) apabila diminta hadir untuk memberi penjelasan me­ngenai tuduhannya itu. Disebabkan kegagalannya itu, beliau diisytiharkan persona non grata dan diminta keluar dari negara ini dalam tempoh 48 jam. Kang Chol berlepas pulang ke Korea Utara dengan pesawat Malaysia Airlines, MH360 pada 6.25 petang, 6 Mac 2017.

 

Tindak balas

Perisytiharan diplomat asing sebagai persona non grata oleh sebuah negara penerima lazimnya berlaku sebagai satu tindak balas berpunca daripada perbuatan diplomat asing itu sendiri (situasi pertama) atau disebabkan perbuatan kerajaannya atau negara penghantar (situasi kedua). Misalan situasi pertama melibatkan seorang diplomat Pakistan di India yang ditangkap oleh Polis Delhi kerana disyaki melakukan pengintipan. Di-sebabkan perbuatan jenayah itu, dia diisytiharkan persona non grata pada 14 Julai 2018 dan diusir keluar.

Misalan situasi kedua melibatkan Duta Besar Kanada di Arab Saudi, Dennis Horak. Dia diisytiharkan persona non grata pada 5 Ogos 2018 oleh kerajaan Arab Saudi sebagai tindak balas kerana Kanada telah mendesaknya untuk membebaskan semua aktivis sivil yang ada dalam tahanan di negara itu.

Antara kes paling besar pengusiran diplomat asing ini berlaku pada 2018 apabila lebih 150 diplomat Rusia diusir keluar dari beberapa negara Barat ekoran insiden pembunuhan seorang bekas perisik Rusia (Sergei Skripal) dan anak pe-rempuannya (Yulia) di Salisbury, United Kingdom (UK). Kedua-dua mangsa dibunuh dengan gas saraf beracun (Novichok). Ekoran insiden pembunuhan itu, pada 4 Mac 2018 UK mengusir 23 diplomat Rusia, diikuti oleh Rusia bertindak balas mengusir 23 diplomat UK dari negaranya. Begitu juga apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kemudian mengusir 60 diplomat Rusia keluar dari negara itu, Rusia telah mengusir keluar 60 diplomat ASt dari negaranya.

Berasal dari alam diplomasi, istilah persona non grata kini dipakai lebih luas lagi oleh media baharu bagi merujuk kepada sesiapa sahaja orang asing yang kita tidak suka terus tinggal di negara kita.

PENULIS ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya