SAUDARA PENGARANG,
PARLIMEN adalah institusi perundangan tertinggi di dalam negara yang menggubal undang-undang. Oleh demikian, ramai dalam kalangan rakyat teruja untuk melihat apakah isu-isu yang bakal didebatkan oleh ahli-ahli Parlimen semasa sesi sidang Dewan Rakyat. Rakyat bukan sahaja menilai kualiti isu-isu yang dibangkitkan tetapi juga gaya bahasa ahli-ahli Parlimen.
Saya agak terkilan kerana terdapat ramai ahli Parlimen sering menggunakan bahasa Inggeris dalam perbahasan mereka pada hampir setiap sesi sidang. Bahkan, ada kalanya Yang Dipertua Dewan Rakyat yang sepatutnya bertegas berhubung penggunaan bahasa di dalam dewan dan memastikan semua ahli Parlimen bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu juga menggunakan bahasa Inggeris. Maka saya sarankan setiap ahli Parlimen diwajibkan bertutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya kecuali bagi istilah-istilah yang tiada dalam bahasa berkenaan.
Mungkin seorang wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh ditempatkan di bangunan Parlimen sebagai sumber rujukan dan menegur serta memantapkan penggunaan bahasa Melayu di situ.
Wakil-wakil rakyat yang masih tidak fasih berbahasa Melayu perlu dihantar mengikuti kursus intensif sehingga kelemahan mereka dapat diatasi.
MD. SALEH ALI
Kepala Batas, Pulau Pinang