Parti Melayu berlambak… - Utusan Malaysia

Parti Melayu berlambak…

Perjuangan getir menuntut kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 sehinggalah kehilangan Singapura yang keluar dari Malaysia (1965) menjadi pengajaran amat berguna kepada orang Melayu akan bahaya pecah belah dan berebut kuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHU kita akui atau tidak realiti ini – orang Melayu sekarang lebih terbahagi dan berpecah lantaran politik kuasa. Yang ternyata, perpecahan sekarang tercetus atas soal kepimpinan. Tahap perpecahan, yang beberapa otai Melayu ‘pm tepi’ pada saya: “Sebenarnya ketika ini lebih dirasai”.

Ini kerana jenis perpecahan yang dialami itu adalah yang menyentuh dan mungkin merosakkan proses kuasa itu sendiri. Pada satu hakikat, dengan wujudnya pelbagai parti seperti Pas, UMNO, PSRM, DAP dan lain-lain parti politik selama ini, perpecahan memang telah berlaku. Tetapi itu semua di peringkat yang toleran. Yakni cuma fahaman politik yang tidak menjejaskan kuasa atau yang tertahan oleh sistem kuasa itu sendiri.

“Tapi sekarang lihatlah berlambak parti-parti Melayu, yang Cinanya cuma satu dua sahaja,” kata seorang otai Melayu kepada saya semalam.

TAMADUN YUNANI RANAP

Kita tidak perlu diperingatkan tentang niat dalam perbuatan atau niat sebelum perbuatan. Tak payah pergi kepada Aristotle, Plato dan lain-lain falsafah Yunani purbakala. Bukan kita tidak tahu tamadun Yunani pun ranap dan berkecai. Mari kita bersandar kepada kebenaran dan falsafah Melayu. Kalau dibentang seluas alam, kalau dilipat sekecil kuku. Soalnya mahu atau tidak mahu sahaja kita terima hakikat bahawa akibat main politik kuasa dan impak mainan budaya politik tipu rakyat, negara boleh menjadi porak- peranda.

Sementara perpaduan dilaung-laungkan seolah-olah sebagai satu komoditi yang kononnya dimiliki oleh satu pihak sahaja, takrif dan penyelesaiannya terhadap perpaduan itu pun hanya ikut kaca mata satu pihak. Yang saya khuatir, pandangan lain-lain pihak terutama ilmuwan dan cendekiawan tidak penting – tidak mendapat tempat dalam proses membulatkan pemikiran orang Melayu.
Dikhuatiri, keadaan sudah menjadi epidemik. Seperti kudis buta yang dulunya hinggap di paha kiri, kini sudah berjangkit ke paha kanan. Parti-parti Melayu merata pula pun sama-sama dijangkiti oleh masalah kepimpinan, politik kuasa dan perpecahan. Mereka juga naik angin, lalu pulau memulau dan buang membuang.

MELAYU MULAI KRITIS

Dengan latar belakang inilah orang Melayu khususnya mulai kritis dan peka dari hal perpaduan bangsa mereka. Mereka mula bertanyakan asal-usul perpecahan termasuk pokok pangkal beberapa peristiwa yang membawa kepada keadaan cemas seperti yang terdapat pada masa ini. Apakah yang menyebabkan kekacauan dalam perjuangan Melayu itu paling kritikal di peringkat ini? Setakat manakah pucuk pimpinan parti dan kerajaan memupuk tradisi dan nilai perjuangan Melayu? Benarkah politik kuasa itu digunakan dengan berleluasa sehingga perpecahan meluas berlaku? Dan apakah jalan keluar yang dapat diwujudkan bagi mencapai penyelesaian?

Lazimnya kuasa politik itu digunakan sebaik-baiknya bagi mewujudkan suasana harmonis dan aman damai serta bagi mencapai matlamat untuk semua. Tetapi berlainan benar halnya dengan penggunaan politik kuasa itu sendiri yang menjadi pelengkap dan penyudah kepada segala perbuatan dan tindak tanduk. Kisah-kisah bersejarah dalam politik tanah air termasuklah kemelut politik hari ini sewajarnya menjadi ubat dan rangsangan untuk kita orang Melayu berasa insaf dan bersyukur. Yang hendak disedari dan disyukuri ialah betapa pentingnya sesuatu persahabatan itu. Yang juga perlu kita insafi ialah dinamisme perjuangan memerlukan kedua-duanya – kawan dan lawan. Politik yang baik diakui mampu membina bangsa, agama dan negara. Tetapi jika salah bawa, politik boleh memusnahkan positive human values atau sifat positif manusia itu sendiri.

ANAI-ANAI

Cuma dalam politik, lawan bukan bermakna perlu dimusnahkan atau dicederakan. Lawan dalam politik seharusnya bererti berlumba dalam perjuangan secara rela hati dengan mementingkan etika harmoni parti. Perjuangan tanpa lawan dan tanpa aral bukan perjuangan namanya. Namun proses tersebut tidak semestinya meracuni persahabatan atau hubungan sesama manusia, apatah lagi seagama. Kejujuran ahli dalam mana-mana parti politik ibarat kisah anai-anai yang setia dan bersatu hati menjaga busut daripada serangan musuh.

Meskipun kecil, anai-anai digeruni kerana upayanya menghancurkan musuh yang mahu musnahkan busutnya. Begitu pun, anai-anai tidak pernah berperang sesama sendiri. Anai-anai bergerak sebagai pasukan dan komited dengan tugas serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kelangsungan koloni. Rumah besar boleh digigit hingga runtuh. Tapi busut sanggup dipertahan hingga mati.

RUSA DIKATAKAN KUDA

Semasa zaman Dinasti Qin (221-207 sebelum Masihi), Zhao Kao, seorang pembesar yang amat berkuasa ingin merampas takhta Maharaja Qin Kedua. Sebelum bertindak, dia ingin menguji pengaruhnya dalam kalangan pembesar yang lain. Pada suatu hari dihadiahkan seekor rusa kepada Maharaja Qin Kedua, lalu sengaja diberitahu baginda bahawa binatang itu adalah kuda. Baginda ingat beliau bergurau, maka ditanya kepada pembesar yang lain, sama ada binatang itu rusa atau kuda? Tak sangka mereka yang takut kepada Zhao Kao membisu sahaja atau berdusta bahawa binatang itu memang kuda. Dan mereka yang berani mengaku binatang itu rusa disingkirkan oleh Zhao Kao selepas itu.

Demikianlah punca pepatah Cina yang berbunyi, ‘rusa dikatakan kuda’. Orang Melayu dan pemimpinnya usah ‘tergelincir dari landasan’, apa lagi memasuki 63 tahun merdeka hujung bulan ini.
Jangan seperti terjadi dalam pantun bidalan berikut:

Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah.
Rusa dikatakan kuda.

Bangkitkah parti-parti Melayu dari lena.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya