Pandemik: Politik lawan sains - Utusan Malaysia

Pandemik: Politik lawan sains

Kehidupan PKS akan terjejas jika mereka terpaksa terus membayar pinjaman sewaktu PKPB. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Dzulkifli Abdul Razak

Kedatangan gelombang kedua Covid-19 sudah diduga oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kini kemungkinannya bertambah nyata dengan berlakunya peningkatan jumlah kes jangkitan keseluruhan di merata tempat. Angka 16 juta seantero menampakkan kegagalan mengawal wabak tersebut di seluruh dunia berikutan pelbagai kerenah dialami.
Pelbagai langkah dicadangkan untuk mengatasi kemelut ini seperti menggunakan pelitup muka supaya dapat mengelakkan daripada melaksanakan lockdown (kurungan) untuk menyekat pergaulan sosial. Hal ini banyak dilakukan dalam fasa gelombang pertama oleh hampir semua negara melainkan beberapa di Asia yang berjaya mengawalnya dengan cara lain termasuk mewajibkan penggunaan pelitup muka.

POLITIK LAWAN SAINS

Namun, tidak semua pihak setuju dengan tindakan ini. Malah ada ketua negara yang jelas tidak percaya dengan pelitup muka untuk mencegah jangkitan Covid-19. Biarpun jumlah kes bertambah dan melambung tinggi di negara mereka, antara terburuk yang dihadapi di peringkat global, namun ia tidak pun dihiraukan sama sekali. Mengapa? tidak pula dapat diperjelaskan dengan meyakinkan kerana pendapat sempit masing-masing. Semua ini amat membingungkan, apatah lagi apabila diheret ke dalam kancah politik tempatan mahupun sejagat. Nampaknya cara ini tidak akan memberi penyelesaian selagi politik terus memainkan sentimen masing-masing sedangkan sains diketepikan.

Ini memandangkan perhitungan sains cukup jelas menunjukkan pelitup muka, jika digunakan dengan berhemat dan betul, boleh memberi pelindungan daripada jangkitan. Umumnya, pelitup muka bertujuan menghindari jangkitan daripada individu kepada yang lain. Apatah lagi kini diketahui yang penghidap Covid-19 tidak semestinya menunjukkan tanda-tanda penyakit berkenaan tetapi masih boleh merebakkan jangkitan secara meluas.

Oleh itu, jika lebih ramai menggunakan pelitup muka, maka lebih ramai lagi yang mendapat perlindungan daripada Covid-19. Langkah ini terbukti berkesan dalam banyak hal dan di kebanyakan tempat merentas sempadan politik, sosial (termasuk kesihatan dan pendidikan) serta eko­nomi. Dengan demikian, ia wajar diketengahkan secara sistematik, serentak di selu­ruh dunia sebagai strategi universal.

BUKTI

Bukti kesan pelitup muka paling dekat adalah apabila petugas utama di tempat-tempat rawatan menggunakan pelitup muka sebagai perlindungan diri dengan jayanya. Walaupun jenis yang terlibat adalah lebih canggih dan khusus, hakikat dan tujuannya agak sama, iaitu pelitup muka boleh menghindarkan jangkitan dengan baik.

Sehubungan itu, masyarakat wajar mencontohinya asalkan pelitup tersebut terbukti membawa kesan serupa di tempat-tempat awam yang sesak. Ini bermakna jenis bahan (kain) yang digunakan mematuhi ciri-ciri tertentu yakni mampu menapis virus daripada memasuki sistem pernafasan, sekali gus mengelak berlaku jangkitan. Ini termasuk jenis kain buatan sendiri kerana ia boleh dicuci setiap hari dengan sabun ataupun mesin pencuci bagi menentukan tahap kerbersihan yang tinggi. Penggunaan berulang kali juga dapat menjimatkan dan menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar oleh pelitup muka komersial yang boleh dipakai sekali sahaja, kemudian buang. Maka pilihlah jenis pelitup muka yang paling sesuai dari sudut kesan, penjimatan, mesra alam sekitar dan selesa pula mengikut kehendak masing-masing.

Perlu diingatkan, ia bukan langkah terakhir dalam menjamin jangkitan tidak akan merebak jika kepatuhan amalan lain terus terbaik terutama dalam penjagaan kebersihan untuk meneruskan cara hidup yang sihat dan berwaspada. Tanpa usaha-usaha sedemikian, rupa pelitup muka akan tetap gagal kerana serangan Covid-19 akan berleluasa melebihi keupayaan pelitup muka memberi pelindungan berkesan. Contohnya, jika seorang kekal dalam suasana bersesak-sesak buat jangka masa berlarutan, kesan perlindungan pelitup muka akan beransur-ansur merosot. Oleh itu, amalan penjarakan fizikal wajar dituruti tanpa mengelakkan pengasingan sosial.

PEMBUDAYAAN

Matlamat terakhir kesemua ini adalah pembudayaan kerana ia penting untuk menjamin kesihatan jangka panjang. Ambil sahaja contoh untuk berhenti merokok atau mengurangkan berat badan atau penggunaan tali pinggang keledar. Semuanya memerlukan pembudayaan dalam menunaikan cara hidup lebih sihat dan afiat. Maknanya, masing-masing perlu peduli bagi mewujudkan kesepakatan sosial sebagai norma menyeluruh dalam menentang wabak Covid-19 secara terus menerus. Ini sekali gus akan dapat mengatasi apa-apa kekurangan untuk saling menghubungi merentasi sempadan termasuklah ancaman kesihatan mental yang dikatakan turut meningkat jika jangkitan Covid-19 dibiarkan berterusan sebagai gelombang kedua.

Apa yang tidak disangkal dalam hal ini adalah kebergantungan kepada sikap dan nilai kepedulian semua pihak di segenap lapisan. Wabak ini bermula daripada hanya seorang di China beberapa bulan lalu dan kini menjangkiti jutaan orang di seluruh dunia.

Begitu jugalah halnya di mana sekalipun termasuk Malaysia. Jika seseorang itu lalai dalam tanggungjawabnya menyempurnakan #kitajagakita, maka besar kemungkinan gelombang kedua akan membadai tanpa putus-putus sehingga perintah berkurung terpaksa dilakukan semula demi mendapat pelindungan berserta segala kesusahan dan kepayahan dalam melangsungkan kehidupan. Dengan kata lain, lebih mudah kita melitupi muka daripada dipaksa berkurung semula untuk mendepani cabaran Covid-19 kali kedua.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya