SAUDARA PENGARANG,
KETIDAKPATUHAN segelintir masyarakat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa kluster baharu dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan. Kluster Sivagangga di Kedah misalnya menyebabkan banyak sekolah dan masjid ditutup dan ribuan penduduk terpaksa menjalani saringan Covid-19. Susulan peningkatan kes baharu di situ, beberapa kawasan turut diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO). Di kawasan lain pula terdapat jemaah yang hadir ke surau dan masjid dengan tidak lagi memakai pelitup muka selain bersalam-salaman dan tidak menjaga penjarakan fizikal. Lebih membimbangkan apabila ada yang bergejala seperti batuk dan selesema turut hadir berjemaah tanpa memakai pelitup muka.
Masyarakat Islam secara khususnya dinasihat agar mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Galakkan supaya berwuduk di rumah masing-masing, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka perlu diikuti. Jika tidak, dikhuatiri nikmat solat berjemaah, kebenaran mendengar kuliah maghrib dan solat Jumaat ditarik balik. Malah inilah masanya untuk semua merealisasikan perintah agama supaya taat kepada pemerintah seperti dinyatakan dalam ayat 59 surah al-Nisa yang selalu dibacakan semasa khutbah Jumaat.
Patuhi segala langkah pencegahan penyakit berjangkit yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi kebaikan bersama. Ibarat kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON
UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor