Naik taraf kemudahan air - Utusan Malaysia

Naik taraf kemudahan air

PENDUDUK sudah tidak sanggup untuk mengharungi situasi ketiadaan bekalan air dalam tempoh yang lama. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LAPORAN media massa baru-baru ini berhubung Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan membelanjakan RM35.41 bilion dalam tempoh 30 tahun untuk menaik taraf kemudahan bekalan air di negeri itu harus disambut baik oleh semua pihak. Bagaimanapun, saya berpendapat, tempoh 30 tahun adalah terlalu lama. Penduduk sudah tentu tidak sanggup untuk mengharungi tempoh yang lama dengan pelbagai masalah termasuk bekalan air dicatu dan ketiadaan air berikutan loji rawatan air ditutup untuk kerja-kerja selenggara.

Sepatutnya, segala langkah untuk menaik taraf kemudahan itu dibuat dalam tempoh lebih singkat, mungkin 10 tahun sahaja. Untuk menyediakan dana yang besar dalam tempoh singkat, Air Selangor tiada pilihan kecuali menaikkan caj bekalan air.

Bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah tidak terbeban, kenaikan caj itu perlu dibuat secara bersasar dengan tumpuan kepada sektor komersial seperti kilang dan premis perniagaan.
Satu lagi isu yang harus diatasi bagi mengelak Air Selangor terus rugi adalah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang berpunca daripada pelbagai sebab termasuk paip pecah. Difahamkan, Air Selangor mencatatkan perkembangan positif dalam aspek ini apabila jumlah NRW berjaya dikurangkan daripada 31.6 peratus pada 2018 kepada 29.6, tahun lalu. Sebanyak 2,787 kes paip pecah direkodkan pada 2019, berkurangan sebanyak 28 peratus berbanding 3,871 pada 2018. Daripada jumlah itu, 295 kes disebabkan pihak ketiga.

SUKA MANDI
Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN