SAUDARA PENGARANG,
SEJAK kebelakangan ini, saya dapati wujud penyebaran iklan dalam Facebook dan laman web jual beli, mudah.my yang menawarkan penjualan lot banglo berhampiran Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Harga setiap tanah lot banglo sebanyak RM60,000 yang ditawarkan memang sangat murah kerana lokasinya cukup strategik, iaitu berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur.
Seingat saya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pernah memasang papan tanda di situ yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak tertipu dengan sindiket penjualan tanah.
Tinjauan saya juga mendapati lot-lot tanah yang dijual itu memang mempunyai pemilik yang sebelum ini telah menjual tanah terbabit kepada pembeli lain dengan bantuan syarikat yang bertindak sebagai orang tengah. Setelah syarikat gagal menyerahkan tanah dalam tempoh ditetapkan, maka pembeli mengambil tindakan saman di mahkamah. Saya difahamkan, kes berkenaan sehingga kini masih belum selesai walaupun telah berlarutan kira-kira 10 tahun. Pembeli yang tertipu masih tidak mendapat kembali wang mereka kerana syarikat terbabit telah bankrap.
Sehubungan itu, saya berharap MPS dapat menyiasat perkara ini. Pembeli tanah juga perlu lebih peka dengan prosedur pembelian tanah bagi mengelak ditipu sindiket sama.
Buatlah semakan status tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta hubungi MPS bagi mengetahui sama ada tanah terbabit boleh diubah status daripada pertanian kepada bangunan untuk tujuan pembinaan rumah.
ABANG HASNAL
Rawang, Selangor