Melayu sudah hilang jati diri? - Utusan Malaysia

Melayu sudah hilang jati diri?

KAUM Melayu di Malaysia juga terdiri daripada keturunan Bugis dan pelbagai etnik lain yang memiliki bahasa dan budaya yang khusus dan tersendiri. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh UTHAYA SANKAR SB

SEBARANG pertikaian mengenai definisi Melayu dapat diselesaikan secara mudah dengan merujuk Perlembagaan Persekutuan. Perkara 160 mendefinisi orang Melayu sebagai seorang yang beragama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Berbeza dengan negara lain, orang Melayu di Malaysia secara automatik (dan secara turun-temurun) beragama Islam. Pelbagai undang-undang Persekutuan dan enakmen peringkat negeri menjamin dan mempertahankan jati diri orang Melayu sebagai penganut agama Islam.

Dalam konteks kajian antropologi dan sosiologi, identiti agama juga diambil kira sebagai elemen budaya. Begitu juga halnya dengan adat istiadat dan bahasa. Maka tiga elemen kebudayaan menjadi asas bagi mendefinisi orang Melayu di Malaysia.

Marilah kita merenung dan berfikir dengan hati terbuka tentang beberapa aspek yang mungkin sudah menjadi konvensi (diterima dan diamalkan secara meluas), lalu jarang dibawa ke meja rundingan. Sejak zaman sekolah rendah, apabila diminta memberi contoh budaya, amalan, dan adat istiadat orang Melayu, apakah hal-hal yang muncul secara automatik dalam minda? Biasanya, kita menyenaraikan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, solat lima waktu dan masjid yang memang merupakan hal-hal yang nyata dan diakui umum.
Akan tetapi, sekiranya direnungkan, contoh-contoh itu mewakili identiti agama anutan kaum Melayu di Malaysia. Secara perbandingan, apabila memperkatakan budaya kaum India, tentulah tidak adil jika kita hanya menyentuh amalan Hindu kerana terdapat juga beragama Kristian, Islam, Sikh dan Buddha.

Namun begitu, sekiranya direnungkan secara mendalam dan dengan fikiran terbuka, kita akan sedar bahawa rata-rata contoh yang biasanya kita berikan bersifat amat umum. Kita tentu menyedari hakikat kaum Melayu di Malaysia juga terdiri daripada keturunan Bugis, Jawa, Minangkabau, Boyan, Mandailing, Banjar, Kerinci, dan pelbagai etnik lain. Malah, terdapat juga Melayu Cape, Melayu Cocos, Melayu Brunei, Melayu Johor, Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu Pahang dan Melayu Pattani.

Dari segi sejarah, identiti kaum atau bangsa Melayu yang menjadi amalan sehingga sekarang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris untuk memudahkan kerja mereka. Dalam bancian penduduk pada 1891, kumpulan etnik Melayu, Boyan, Aceh, Jawa, Bugis dan Siam dilonggokkan di bawah satu sahaja kategori, iaitu Melayu. Lama-kelamaan, kita menjadi selesa dengan kategori itu. Keadaan ini memang amat sesuai dengan konsep perpaduan Melayu-Islam.

Malangnya, generasi baharu Melayu dikhuatiri akan kehilangan identiti, jati diri, bahasa dan budaya unik yang mewakili keturunan nenek-moyang. Sementara kaum India di Malaysia tetap berbangga dengan identiti keturunan Tamil, Malayali, Telugu, dan Punjabi serta tercatat dalam sijil kelahiran, agak sedih apabila orang Melayu ‘terpaksa’ menanggalkan dan meninggalkan identiti budaya keturunan masing-masing.

Pada pandangan saya, dalam pada berjuang demi mengukuhkan perpaduan Melayu-Islam, orang Melayu di Malaysia berhak untuk berbangga dalam mengekalkan serta mempertahankan identiti serta jati diri budaya keturunan asal.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya