SAUDARA PENGARANG,
SEMUA sedia maklum, semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara terkesan akibat pandemik Covid-19. Keadaan ini menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di seluruh IPT. Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan arahan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kuliah) dilaksanakan secara dalam talian. Pembukaan semula semua IPT telah ditetapkan pada Oktober ini. Ini bermakna pelajar-pelajar mempunyai cuti semester yang panjang. Bagi yang telah menamatkan kuliah pada Julai, mereka mempunyai cuti semester hampir dua bulan.
Oleh itu, para pelajar perlu memanfaatkan masa yang terluang dengan baik. Dengan suasana kebiasaan baharu ini, banyak webinar-webinar atau seminar dalam talian secara percuma yang boleh pelajar sertai untuk mendapatkan ilmu pengetahuan daripada pakar-pakar industri termasuk golongan profesional dari dalam dan luar negara. Peluang ini perlu direbut sebaik-baiknya oleh pelajar, bukan hanya duduk di rumah menghabiskan cuti semester tanpa melengkapkan diri dengan ilmu yang mudah diperoleh. Sebagai contoh, pelajar jurusan kewangan dan pelaburan boleh mengikut webinar-webinar dan kursus pelaburan saham secara percuma yang terdapat secara dalam talian. Dengan menghadirkan diri secara maya ini, mereka boleh mendapat ilmu yang sangat berguna daripada pakar-pakar dalam bidang tersebut. Sebelum ini, kekangan masa, tempat dan kos menjadi penghalang, kini peluang di depan mata. Silalah rebut peluang ini dan manfaatkan cuti semester dengan baik.
SYAMSYUL SAMSUDIN
Koordinator Program UiTM Johor