‘Mana senangnya kerja saya’ - Utusan Malaysia

‘Mana senangnya kerja saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), DATUK SERI AZAM BAKI cool sahaja ketika mengulas kritikan seorang pemimpin politik terhadap badan diketuainya.
Singkat sahaja perbualan kami pasal isu itu. Tetapi yang lebih Azam, 57, ambil serius dalam pertemuan 45 minit itu banyak berkisar soal bahaya rasuah dan ketirisan.

“Rasuah yang berleluasa mengakibatkan ekonomi negara boleh hancur lebur. Kos perolehan meningkat, terjejas dengan sistem penyampaiannya menjadi tidak munasabah.

“Apa lagi ketika negara menghadapi Covid-19 yang menjejaskan ekonomi, justeru SPRM juga berperanan dalam membantu negara untuk mencapai pendapatan tinggi serta meminimumkan ketirisan…bukan satu perkara senang,” kata beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya semalam.

Berikut sedutan temubual tersebut.

SPRM BEBAS TANPA PENGARUH SESIAPA

SAYA nyatakan dalam bentuk kenyataan media dan sebagainya. Saya mesti bertanggungjawab apa yang saya cakap dan apabila saya menyatakan satu perkara itu, ia adalah berdasarkan fakta dan boleh dikeluarkan kepada masyarakat berdasarkan kejituan undang-undang (rule of law). Saya pun menuntut juga daripada mana-mana pihak masyarakat supaya kalau nak memberikan komen, berilah komen yang membina dan we are open for critism untuk penambahbaikan. Ini adalah agensi bukan milik saya tetapi agensi yang ditubuhkan masyarakat sendiri sejak 1 Oktober 1967.
Masyarakat suka membuat pre judgement, belum berlaku apa-apa lagi dah buat pre judgement. Itu satu perkara yang tidak adil bagi saya kepada agensi saya sendiri dan kepada masyarakat semuanya. Masing-masing membuat komen-komen yang pada saya kadang-kadang dia subjudis kepada sesuatu perbicaraan. Perlu diingatkan kalau kes yang telah dikemukakan di mahkamah ini bukan kuasa SPRM. Kita hanya satu badan penyiasat. Penyiasatan kita adalah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Begitu juga Peguam Negara bebas untuk menuduh atau tidak menuduh. Jadi jangan pula menyatakan ini kerja SPRM untuk menuduh. Semua orang kena sabarlah.

Saya ini boleh dikatakan hidup dalam era yang pelbagai di mana perubahan politiknya telah berlaku sejak saya masuk pada 24 Disember 1984 hinggalah sekarang dan saya memerhatikan perubahan geopolitik kita. Jadi di sini kalau nak dikatakan di peringkat ini berada dengan keadaan perubahan politik yang berubah, sejak dahulu hingga sekarang. Jadi kalau masyarakat perhatikan betul-betul tindakan-tindakan kami sebenarnya, tindakan tak dipengaruhi oleh pengaruh luar. Mesti diperbetulkan persepsi ini. Kalau katakan masing-masing ada pendapat atau agenda politik masing-masing, saya tidak mampu menghalangnya.

SPRM DIPANTAU 5 BADAN

SPRM ini dipantau oleh lima badan, dipantau oleh; 1) Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah; 2) Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah; 3) Jawatankuasa Aduan; 4) Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah; 5) Panel Penilaian Operasi. Semua ini adalah entiti yang bukan daripada perkhidmatan kerajaan. Mereka adalah orang awam. Mereka dalam kalangan profesional yang ditubuhkan sejak 2009. Jadi, adakah SPRM ini dikatakan masih lagi tidak bebas? Saya boleh nyatakan secara peribadi, tugasan saya dalam pencegahan rasuah ini bersama pegawai-pegawai saya sekarang tidaklah semudah seperti mana dahulu kerana dahulu tidak dipantau mana-mana pihak.

Lembaga penasihat ini ialah lembaga yang melihat polisi dan strategi SPRM, mereka menasihati secara umum. Panel penilaian operasi pula ialah panel yang akan memberi pendapat bagi kes-kes yang dicadangkan tutup oleh SPRM dan pihak Peguam Negara. Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah menasihati kita dari segi aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat.
Jawatankuasa Aduan pula ialah panel yang melihat balik isu-isu misconduct pegawai SPRM. Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah pula ialah terdiri daripada tiga ahli parlimen pembangkang dan tiga ahli parlimen kerajaan dan seorang pengerusi yang akan melihat kepada laporan-laporan dan tindakan SPRM sepanjang tahun untuk dikemukakan kepada mereka, yang seterusnya menasihati Perdana Menteri. Jadi, mana senangnya kerja saya? Saya secara peribadi kena bertanggungjawab kepada semua panel ini. Sebarang tindakan kita mesti berhati-hati dan mengikut undang-undang. Kami akan dipersoalkan oleh masyarakat dan panel-panel ini sekiranya tindakan kami dilihat tidak wajar.

JIKA ADA PROVOKASI, SPRM TAK GENTAR?

Kita terbuka dan saya boleh katakan SPRM di peringkat kematangan dalam menangani persepsi yang berada di luar sana. Persepsi sama ada negatif atau positif. Sebab itu SPRM dilarang untuk respons isu-isu yang berbentuk politik. Kita dibenarkan untuk respons perkara-perkara yang berlandaskan fakta dan menjaga sensitiviti masyarakat. Yang penting sekali tentang hala tuju SPRM dalam keadaan negara menghadapi Covid-19 yang mana menjejaskan ekonomi. SPRM juga berperanan membantu negara ini memperoleh pendapatan dan meminimumkan sebaik mungkin ketirisan. Ia bukan satu perkara senang.

DI LUAR ‘PENGHAKIMAN’ SEBENAR?

Ini satu perkara yang dah berlaku banyak kali. Saya tak nak sebut kes mana-mana, tetapi ini satu perkara yang sepatutnya masyarakat sedar dan sepatutnya berfikir secara waras. Sebab itu saya tak campur dengan agenda politik. Tetapi dalam kita hendak memakmurkan negara dan mendidik masyarakat supaya lebih bertamadun, sama ada dalam kalangan ahli pentadbiran awam, orang biasa, cerdik pandai atau ahli politik, kena sama-samalah mendidik lebih bertamadun dalam mengupas sesuatu isu. Bukan berdasarkan emosi masing-masing kerana perbuatan ini jika berunsur fitnah atau satu perkara yang mengelirukan masyarakat, dosanya sebagai orang Islam ditanggung oleh kita. Namun dari sudut undang-undang pun ada, kalau cakap fitnah tak boleh dan kedua, kalau kita mempertikaikan satu kes yang belum lagi dibicarakan, itu dipanggil subjudis dan boleh dikenakan contempt of court.

SPRM SERING ‘DIKAMBINGHITAMKAN’

Itu satu perkara biasa dan ia salah satu cabaran yang kami kena hadapi. Cuma saya mengutarakan ini tentang apa yang saya rasa masyarakat perlu tahu. Sebagai seorang pegawai kerajaan dan sebagai seorang yang lama menguatkuasakan undang-undang, ini saya harap semua lebih matang tak kira dari sudut mana-mana ideologi politik.

SPRM PERNAH TERIMA ARAHAN PEJABAT PM?

Itu saya nafikan 100 peratus. Tidak ada campur tangan daripada kerajaan pemerintah. Saya boleh katakan saya bekerja dalam tiga zaman, zaman BN, PH dan kerajaan sekarang. Ketiga-tiga ini sebenarnya tidak ada campur tangan kepada saya. Jadi kita menyiasat kes daripada dulu sebagai contoh 1MDB dan SRC pun mengikut undang-undang. Dan kemudian kes-kes ini telah dituduh di zaman PH, semua kes berprofil tinggi BN telah dituduh. Sebenarnya ini kesinambungan tugas kami seperti mana dahulu sehingga sekarang. Jadi, rekod kami sejak 1 Oktober 1967 hingga sekarang adalah rekod yang sentiasa dikekalkan.

APABILA TIBA KES PEMIMPIN DAP…

Mereka ‘mengkambinghitamkan’ kami. Mungkin sekarang DAP. Akan datang saya tak tahu mungkin berlaku perubahan politik. Kita tidak jangka dan kemungkinan akan ada lagi serangan sebegini. Saya tak kata perkara ini akan berakhir, terpulanglah. Manusia yang dikatakan tak bertamadun ini, saya sendiri pun tak nampak terutama sekali dalam hal isu politik. Saya susah nak komen banyak, tetapi saya sendiri yang duduk dalam SPRM ini dan sebelumnya BPR merasakan kita belum sampai satu tahap yang boleh mengawal emosi apabila kes berkaitan politik. Kita belum sampai tahap betul-betul berfikiran matang ketika membicarakan sesuatu isu itu. Ia akan tetap ‘mengkambinghitamkan’ institusi yang menjalankan tugas terutama dalam pasukan penguat kuasa. Ini adalah persepsi yang makin hari makin meningkat kerana dengan perkembangan teknologi maklumat cepat orang buat kehakiman. Perkara itu tidak disahkan lagi, hanya berdasarkan cerita-cerita dari satu pihak ke satu pihak. Malangnya perkara yang benar pun susah hendak dipercayai. Kecenderungan mempercayai yang buruk, diulang-ulang.

REKOD TERBAIK SPRM

Kalau lihat rekod SPRM dalam membendung rasuah kes-kes berprofil tinggi sudah banyak menteri ditangkap. Ini termasuk menteri besar, ahli politik serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Ia satu evolusi dalam penguatkuasaan BPR, pasca kemerdekaan. Dari 1967- 1980 tempoh 13 tahun adalah tempoh yang boleh dikatakan satu dekad dalam usaha kita memerangi rasuah.
Kemudian, bila era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1981 hingga beliau bersara pada 2003, ketika itu kita mengharungi perubahan iklim politik dan ekonomi yang berbeza sebelumnya. Masa itu tempoh pemodenan negara kita. Dan suasana aktiviti rasuah negara kita berubah apabila negara moden dan banyak aktiviti perdagangan berlaku, ia tak lagi sama seperti sebelumnya.

Dr. Mahathir yang saya anggap seorang yang memodenkan negara ini. Jadi, rasuah ini bersekitar pada ekonomi. Semakin banyak perdagangan atau perkembangan ekonomi terlibat, maka peluang rasuah banyak. Sebab itu kami BPR ketika itu mengorak langkah mengubah cara pendekatan dalam mencegah rasuah dan kita turut mengalami transformasi undang-undang. Undang-undang ketika itu telah diubah kepada satu undang-undang lain lain pada 1982. Kemudian pada 1987 lagi sekali transformasi undang-undang berlaku. Dan apabila berlaku perubahan politik pada 2008, maka satu lagi transformasi berlaku dengan mengubah struktur BPR ke SPRM dan membekalkan kita undang-undang yang lebih jelas dan kuat. Iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi menangani isu rasuah yang lebih kompleks.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya