SAUDARA PENGARANG,
SYABAS buat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menjalankan tindakan penguatkuasaan secara berterusan ke atas peniaga warga asing sejak akhir-akhir ini. Langkah DBKL menyenaraikan 23 jenis perniagaan yang tidak boleh diusahakan warga asing juga amat dialu-alukan.
Kebanjiran peniaga warga asing sudah berlarutan sejak sekian lama dan sering diberi liputan oleh media massa. Warga asing yang terlibat dalam perniagaan jelas melanggar peraturan kerana ada dalam kalangan mereka masuk ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pas pelajar asing.
Justeru tindakan tegas oleh DBKL amat perlu dan wajar diikuti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri-negeri lain. Salah satu penyumbang kepada ekonomi gelap yang menyebabkan ketirisan pendapatan negara adalah kebanjiran warga asing menjalankan perniagaan haram.
Antara faktor masalah lambakan peniaga asing menjadi semakin tidak terkawal disebabkan sikap sesetengah warga tempatan yang memiliki lesen dan premis perniagaan telah mengambil jalan mudah menyewakan perniagaan mereka kepada warga asing untuk mengaut keuntungan atas angin.
Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan tidak begitu berkesan kerana rakyat tempatan sebagai pemegang lesen tadi akan segera ke premis mereka ketika operasi pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Warga asing yang mempunyai modal juga bijak mencari ‘rakan kongsi senyap’ dalam kalangan warga tempatan untuk memudahkan urusan pendaftaran syarikat. Sudah tiba masanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diberikan kuasa yang lebih menyeluruh bagi menangani masalah ini dengan berkesan.
Peraturan dan akta baharu bagi menangani kes warga tempatan yang mengalibabakan perniagaan kepada warga asing perlu segera diperkenal. PBT disaran meminda undang-undang kecil bagi melarang warga asing daripada menjadi penjaja atau pekerja dalam sektor perniagaan.
Hukuman lebih berat juga wajar dikenakan sebagai pengajaran kerana tindakan pembatalan lesen dan penyenaraian hitam setakat ini gagal membendung masalah sebegini. Sebagai tambahan, dokumen PLKS pekerja asing yang berkahwin dengan warga tempatan perlu dibatalkan serta merta.
M. FAISAL
Kuala Lumpur