Oleh Ahya Alimuddin
Terlalu tinggikah kadar baharu sewaan tanah yang dikenakan ke atas pekebun sayur dan bunga di Cameron Highlands?
Jika tanya seorang, dua ahli politik pembangkang, jawapannya, ya. Lalu mereka pun kononnya sebagai mewakili pekebun, menyuarakan ketidakadilan mengenainya menerusi media. Namun, setelah tiga perjumpaan diadakan antara pihak berkuasa khususnya jabatan-jabatan kerajaan berkaitan dengan sebilangan pekebun, tiada pun yang membangkitkan tentangnya. Yang dibangkitkan hanya syarat-syarat baharu sewaan tanah termasuklah tempoh 3+2 atau bermaksud tiga tahun pertama, kemudian dilanjutkan dua tahun lagi.
Berdasarkan rekod Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Cameron Highlands, jumlah pekebun terlibat adalah 1,018 orang manakala keluasan tanah selepas kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sejak beberapa tahun lalu, kira-kira 5,519 hektar. Angka-angka inilah juga yang akan dilibatkan semula. Pada peringkat awal, hanya ketua keluarga dibenarkan kembali berkebun dengan diberikan 1.2 hektar tanah untuk disewa dan dikerjakan.
UNTUNG
Kembali kepada soal kadar baharu sewaan tanah menurut pencemuh tadi, RM4,500 bagi 0.405 hektar setahun adalah terlalu tinggi yang merupakan kenaikan ratusan kali ganda daripada sebelumnya. Betul, ratusan kali ganda atau lebih tepat lagi, kenaikan 414 peratus atau lebih empat kali ganda daripada sebelum ini dengan dikenakan hanya RM1,086 bagi 0.405 hektar setahun meliputi RM606 untuk bayaran LPS dan RM480 lagi sebagai caj penggunaan air mentah.
Bagaimanapun, menurut seorang pegawai PDT Cameron Highlands, kadar baharu ini selain RM480.16 caj penggunaan air mentah, terdapat beberapa elemen lain termasuk RM100 sumbangan ke Tabung Khas Alam Sekitar, RM121.46 (cukai tanah), RM450 (kebenaran merancang) dan RM250 (pengurusan sampah dan sisa pertanian). Sungguhpun dengan bayaran RM4,500 bagi 0.405 hektar setahun atau kira-kira RM375 bagi 0.405 hektar sebulan pun katanya, pekebun boleh menyerapnya sementelahan keuntungan yang mereka peroleh sebelum ini adalah berlipat kali ganda.
Dalam hal ini, kita boleh merujuk kepada kajian oleh Jabatan Pertanian. Pekebun yang menanam dan menghasilkan tomato misalnya, pendapatan kasar daripada dua pusingan tanaman ialah kira-kira RM120,000 bagi 0.405 hektar setahun atau bersamaan RM10,000 bagi 0.405 hektar sebulan. Sesudah ditolak bayaran LPS dan caj penggunaan air mentah serta upah buruh yang dianggarkan kira-kira 40 peratus, seorang pekebun boleh meraih untung bersih sehingga RM72,000 bagi 0.405 hektar setahun atau RM6,000 bagi 0.405 hektar sebulan.
Ini pun untuk 0.405 hektar sedangkan kita tahu, keluasan tanah yang diusahakan kebanyakan pekebun sebelum ini adalah lebih daripada itu, termasuk tanah diterokai secara haram. Paling tidak pun, keluasan tanaman sehingga 1.2 hektar, maka keuntungan bersih yang boleh diraih ialah kira-kira RM216,000 setahun atau RM18,000 sebulan!
Bagi menjawab tentang syarat tempoh sewaan 3+2, rasional kerajaan negeri Pahang memberi peluang kepada pekebun membuktikan keseriusan mereka untuk mengamalkan kerja-kerja pertanian berhemah – tidak mencemarkan seperti mana sebelumnya dengan menuruti segala syarat dan peraturan ditetapkan di bawah Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).
SIKAP
Setelah itulah, lanjutan lagi dua tahun diberikan, seterusnya boleh disambung bagi tahun-tahun berikutnya dengan kadar kepatuhan MyGAP termasuk dalam penggunaan baja dan racun serangga yang dibenarkan serta selamat. Berkaitan syarat 1.2 hektar sahaja bagi setiap ketua keluarga, ini pun merupakan langkah awal untuk melihat sikap pekebun. Jika terbukti mereka positif, maka tindakan seterusnya ialah memberi lagi sewaan tanah 1.2 hektar masing-masing kepada isteri dan anaknya pula.
Dengan itu, akhirnya sekeluarga ini boleh mengerjakan sehingga 3.6 hektar bagi mengusahakan tomato yang bakal memperoleh keuntungan bersih kira-kira RM648,000 setahun atau kira-kira RM54,000 sebulan!
Yang turut dibangkitkan ialah soal tanah 1.2 hektar ini tidak dibenarkan dicagarkan kepada institusi kewangan untuk memperoleh pinjaman bagi perbelanjaan kos operasi atau menambahbaik keperluan kebun masing-masing. Sedangkan, ketika mereka diberikan LPS tempoh hari (yang perlu diperbaharui setiap tahun), hal sama juga disyaratkan, namun mereka tiada pun menghadapi masalah mendapatkan pinjaman. Mereka sekadar perlu buktikan adanya pemilikan LPS.
Perkara ini saya percaya turut disedari dan diketahui oleh para pekebun terlibat, cuma tentunya apabila ada pihak yang dilihat hendak membantu ‘memperjuangkan’ kononnya nasib mereka, maka mereka menerimanya. Sudah tentu penerimaan ini bukan sangat atas alasan mereka akan menanggung kerugian besar, cuma mahu kekal status quo dengan keuntungan berlipat kali ganda yang telah mereka nikmati sebelum ini.
Oleh itu, kita berharap para pekebun terbabit harus berlapang dada dan terimalah hakikat yang kerajaan lakukan sekarang demi untuk kebaikan mereka juga. Demi memastikan usaha-usaha perkebunan dan pertanian di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands lebih teratur dan tidak mencemarkan seperti mana sebelum ini.