Ketetapan Dong Zong serakah - Utusan Malaysia

Ketetapan Dong Zong serakah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dong Zong, sebagai Persekutuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia, dalam tujuh keketapan yang dibuat baru-baru ini memperlihatkan kesanggupannya memperjuangkan pendidikan aliran bahasa Cina secara mati-matian dalam apa juga keadaan. Kesemua ketetapan itu ikut memperlihatkan sikap serakahnya tanpa langsung mengambil kira hakikat pendidikan aliran bahasa Cina di negara ini.

Dua ketetapan, iaitu usulan untuk menyemak semula Akta Pendidikan 1996 bagi tujuan mengkitiraf sistem pendidikan semua jenis dan anjuran untuk pengagihan dana yang adil untuk sistem pendidikan semua jenis aliran, benar-benar memperlihatkan serakah sekali deklarasi yang dibuat itu dengan keazaman dan penyelesaian yang sangat mementingkan diri sendiri.

Usulan untuk menyemak semula Akta Pendidikan 1996 bagi terus memenuhi hasrat mengiktirafkan pendidikan swasta Cina khususnya peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang berupa entiti awam bukan sahaja keterlaluan, malah membalikkan adab dan bersifat rungkap. Ini kerana meskipun sebagai entiti bukan awam, ia tetap dibenarkan wujud sebagai institusi pendidikan swasta dalam sistem pendidikan negara. Sehubungan itu, SMPC merupakan pilihan sendiri kerana memberahikan sistem pendidikan berlainan untuk kaum Cina daripada yang sedia di negara ini. Ia tidak disekat atas dasar kita sebuah negara demokratik dan liberalisme diraikan dalam sistem pendidikan negara.

ISTIMEWA

Sebenarnya SMPC dan UEC diberikan tempat amat istimewa dalam Akta Pendidikan 1996 yang mahu lagi disemak semula Dong Zong. Ini dapat dilihat pada Pecahan 17 akta itu yang mengkehendaki semua institusi pendidikan menggunakan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan sebagai bahasa pe-ngantar utama. Namun begitu, SMPC dikecualikan dengan hanya perlu menawarkan mata pelajaran Bahasa Malaysia yang kurikulum dan sukatan pelajarannya digubal sendiri.

Pecahan 18 pada akta itu mengkehendaki kurikulum kebangsaan digunakan di semua sekolah dalam sistem pendidikan negara. Sehubu­ngan itu, SMPC dianggap sudah pun mematuhi syarat penting ini dengan hanya menawarkan mata pelajaran teras kepada kurikulum kebangsaan iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan pendidikan Islam/pendidikan moral. Walaupun mata pelajaran teras ini diajar di SMPC, ia langsung tidak terikat dengan kurikulum kebangsaan dalam erti kata yang sebenarnya. De-ngan kata lain, ia mengajar mata pelajaran teras ini dengan sukatan pelajaran yang sama sekali tidak serupa dengan topik dan kandungan di sekolah menengah kerajaan.

UEC yang disedia dan dikendalikan oleh Dong Zong juga tidak dilarang. Malah, ia dipermudahkan akta ini khususnya pada Bahagian V tentang Penilaian dan Peperiksaan selari dengan kewujudan SMPC pada Pecahan 16.

Anjuran agar peruntukan kewangan yang adil untuk sistem pendidikan semua aliran, ikut memperlihatkan tidak pekanya Dong Zong terhadap taraf bahasa Cina di negara ini. Kaum Cina Malaysia perlu diperingatkan bahawa taraf bahasa Cina sama ada Mandarin atau Hokkien, Kantonis dan lain-lain adalah hanya vernakular di sini walaupun ia merupakan bahasa besar di peringkat dunia. Dengan taraf vernakular, bahasa Cina adalah tidak lebih daripada bahasa sukuan kaum Cina yang tempatnya bersifat hanya domestik, iaitu digunakan dalam ranah keluarga dan komuniti Cina sahaja.

Namun peranannya melebihi ranah kecil itu dan telah memasuki ranah negara pada beberapa sisi. Antaranya sebagai bahasa pendidikan di sekolah dan bahasa ilmu di universiti. Walaupun demikian, ia sekali-kali tidak bermakna bahasa Cina dalam bidang pendidikan dan lain-lain perlu diberikan dana yang sama agihannya dengan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

MUNASABAH

Sebenarnya, dana diperoleh untuk pendidikan aliran bahasa Cina khususnya yang berentiti awam adalah munasabah sekali dengan tarafnya sebagai hanya vernakular. Dengan kata lain, apa-apa yang diperuntukkan kepada ribuan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan puluhan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC) adalah logikal serta praktikal. Ini kerana ia bersesuaian dengan taraf bahasa Cina yang hanya vernakular walaupun dibenarkan wujud sebagai komponen utama dan identiti penting kepada kedua-dua institusi pendidikan kerajaan ini.

Walaupun sebagai entiti awam, SJKC yang menyediakan pendidikan vernakular sepenuhnya dan SMJKC yang terus menawarkannya secara separa, tidak boleh sama sekali disamakan kedudukannya dengan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang membekalkan pendidikan nasional. Sehubungan itu, SK dan SMK adalah sekolah kebangsaan sepenuhnya yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal. SJKC dan SMJKC pula adalah sekolah ala kebangsaan kerana menggunakan bahasa Cina sepenuhnya di SJKC dan bahasa Cina selain bahasa Melayu di SMJKC.

Sebenarnya tiada apa-apa lagi yang perlu disemak semula untuk memperkasa kedudukan SMPC dan UEC yang sudah pun mempunyai tempat absah sebagai entiti swasta kepada Akta Pendidikan 1996 melainkan bagi menyondol masuk untuk bersekali dengan entiti awam lain dalam keadaan ia masih sebagai entiti swasta totok. Dana yang diperoleh pendidikan aliran bahasa Cina sebagai entiti awam yang didakwa sebagai tidak mencukupi dan perlu ditambah sesungguhnya adalah agihan yang sangat wajar, sesuai, memadai selain adil untuk sebuah bahasa vernakular di sebuah negara di luar wilayah watannya.

PENULIS ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya