Keharusan solat dalam kereta - Utusan Malaysia

Keharusan solat dalam kereta

GAMBAR yang tular dalam laman sosial memaparkan pengguna menunaikan solat subuh di lorong kecemasan di Kilometer 32, Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali musim cuti musim perayaan, ramai yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang biasanya mengambil masa sekitar enam jam bertukar menjadi 10 jam atau 14 jam.

Selain memenatkan dan menempuh kesesakan yang luar biasa, tandas dan surau juga jam. Adakalanya hendak berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pun tidak boleh. Semuanya sesak dan padat dengan manusia.

Hal inilah yang membawa kepada tularnya kes beberapa pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menunaikan solat subuh di tepi lebuh raya itu semasa pulang menyambut Hari Raya Aidiladha lalu.

Lagipun, solat di tepi jalan atau bersebelahan kenderaan adalah luar biasa dan bukan amalan di negara kita berbanding di negara-negara Arab. Kalau di Mekah dan Madinah misalnya, kita sering terserempak dengan anggota polis yang solat di tepi-tepi jalan ketika bertugas.

Semua kita maklum, solat itu wajib dilaksanakan waima dalam kita bermusafir. Cuma dalam melaksanakannya, satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah aspek keselamatan kita. Menjaga nyawa juga adalah salah satu daripada maqasid syariah selain menjaga agama.

Barangkali sudah tiba masanya untuk kita mempelajari bab solat ini dengan lebih mendalam. Selain mahir dalam bab solat jamak dan qasar, perlu juga kita fahami rukhsah (keringanan) yang ada di dalamnya.

Walaupun ramai yang biasa solat dalam kapal terbang tetapi ramai yang kekok apabila nak solat dalam kereta. Terutamanya apabila berhadapan situasi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk seperti hari raya haji lalu.

Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari berkata, sifat agama itu adalah memudahkan dan ada jalan keluar bagi segala situasi yang dihadapi.

 

                              Muhyidin Aziz

 

AIR MINERAL

Sepatutnya dalam waktu kesesakan lalu lintas terutama yang di luar jangka, umat Islam perlu menggunakan rukhsah untuk solat di dalam kenderaan. Ini boleh dilakukan bukan sahaja dalam pesawat udara tetapi juga di dalam bas atau kereta.

Sebagai persediaan, pastikan sentiasa ada sebotol air mineral untuk berwuduk. Walaupun boleh dikerjakan solat tanpa wuduk atau ada yang menyebutnya solat bagi menghormati waktu, ia perlu diqada apabila sampai ke destinasi.

Kata Muhyidin, jika seseorang itu berwuduk terlebih dahulu maka solatnya di dalam kereta itu sudah dikira sempurna dan tidak perlu diganti.

“Solat dalam kereta adalah mengikut kemampuan kita. Walaupun dalam mazhab Syafie ia agak ketat antaranya mesti menghadap kiblat semasa takbiratul ihram, ada pandangan lain yang mengharuskan tidak menghadap kiblat.

“Takbiratul ihram pun yang rukun adalah mengucapkannya. Mengangkat tangan bukan rukun. Rukuk dan sujud pula ikut kemampuan. Cuma sujud mesti lebih rendah kedudukannya daripada rukuk.

“Bab fikah ini luas, ada pandangan yang ketat dan ada yang longgar. Dalam keadaan darurat seperti kes terperangkap berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas dan tidak ada tempat yang sesuai nak berhenti, kita boleh pilih pandangan yang longgar sedikit termasuklah dalam bab solat atas kenderaan,” katanya.

Keharusan solat di atas kenderaan adalah berdasarkan sabda nabi SAW yang bermaksud: Aku pernah melihat Rasulullah SAW dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan.

Baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan keadaan semasa, haiwan tunggangan itu bolehlah dikiaskan kepada kenderaan yang digunakan hari ini seperti kapal terbang, kapal, kereta dan sebagainya.

Ini adalah isyarat solat yang boleh dilakukan dalam keadaan di atas atau dalam sesebuah kenderaan hanyalah solat sunat. Bagi solat fardu, para ulama menyatakan hendaklah seseorang itu turun daripada haiwan tunggangannya untuk melaksanakannya.

COVID-19
Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Batthal dalam isu ini yang menyatakan: Para ulama telah ijmak akan pensyariatan hal ini (turun dari haiwan tunggangan) dan sesungguhnya tidak boleh bagi seseorang menunaikan solat fardu di atas haiwan tunggangan tanpa ada sebarang keuzuran. (rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri ke 22-pejabat Mufti Wilayah)

Muhyidin turut meminta masyarakat sentiasa menimba ilmu terutama yang sesuai dengan keadaan semasa hari ini dalam dunia berhadapan dengan wabak Covid-19.

Dalam Islam, ada yang disebut maqasid (objektif dan makro) dan ada yang disebut shakli. Pandangan shakli lebih bersifat mikro, lebih terperinci dan mendalam. Kadang-kadang ia digelar tradisionalis.

Contohnya, dalam bab bersugi, pandangan shakli mesti guna kayu sugi. Namun mengikut maqasid, bersugi itu tujuannya untuk membersihkan kekotoran dalam mulut.

“Jadi yang lebih luas adalah dari segi maqasid iaitu bersugi boleh juga menggunakan berus gigi,” jelas beliau.

Apa yang penting, janganlah umat Islam memegang hukum umum sesuatu itu dalam semua keadaan. Sebabnya, hukum bagi pesakit dialisis dan orang sihat adalah berlainan.

“Demikian juga halnya dengan kaifiat solat atas kerusi. Kadang-kadang saya rasa ralat apabila kita perinci perkara khusus untuk kita fatwakan kepada orang awam. Kita kena tengok case by case sebab situasinya tidak sama,” kata Muhyidin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya