Ke mana politik demokrasi? - Utusan Malaysia

Ke mana politik demokrasi?

Rakyat mahukan pembelaan agar kebajikan kehidupan mereka terus terjamin dan terbela daripada kerajaan dalam tempoh pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN/FACEBOOK PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Mohd. Izani Mohd. Zain

Demokrasi tidak pernah terkalahkan oleh pandemik Covid-19. Politik demokrasi juga tidak pernah pergi seperti harapan kita agar pandemik menjauh sekali gus menghilang daripada kehidupan. Begitulah pandangan umum yang boleh kita simpulkan apabila melihat duduk peranan politik demokrasi semasa krisis pandemik terhebat dalam sejarah kemanusiaan ini. Ketika kebanyakan negara di dunia bergelut untuk mengeluarkan ekonomi mereka daripada terus merudum, politik demokrasi seolah-olah tidak terkesan malah membawa banyak kedinamikan dan perubahan. Paling jelas, terdapat negara yang tidak menangguhkan proses demokrasi melalui pilihan raya mereka.

Kita juga tidak melihat penggabungan mana-mana parti politik disebabkan krisis ekonomi dan impak Covid-19. Sebaliknya, ada penubuhan parti politik baharu sebagai alternatif kepada parti politik sedia ada. Baru-baru ini, kita menyaksikan kemunculan sebuah parti politik baharu, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seperti diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Fokus Pejuang masih berlegar untuk melawan rasuah dan salah guna kuasa, iaitu tema yang sangat popular digunakan oleh parti pembangkang dalam wacana politik demokrasi di negara ini. Namun, penubuhan Pejuang tidak kurang juga disorot sebagai satu cara untuk menggantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Agak sukar untuk kita mencari apakah norma baharu dalam politik demokrasi. Dalam kata lain, politik demokrasi berjalan seperti biasa dengan amalan yang sama. Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah negara yang paling teruk terkesan oleh pandemik Covid-19 akan meneruskan pemilihan presiden yang dijangka November ini. Saingan Presiden Donald Trump, iaitu Joe Biden merupakan bekas naib presiden semasa Presiden Barack Obama. Biden memilih regu naib presiden, Senator Kamala Harris, iaitu seorang wanita berketurunan Afrika Amerika. Pemilihan Harris diharap boleh membawa sentimen kulit hitam dan kempen Black Lives Matters kepada bentuk undi dalam pemilihan presiden nanti.

KEMPEN

Selain itu, pasangan Biden dan Harris berusaha menawarkan pendekatan berbeza menangani Covid-19 apabila Trump didakwa tidak melakukan yang terbaik untuk melawan pandemik. Malah, kes positif Covid-19 telah melepasi lima juta kes manakala jumlah kematian mencatat angka melebihi 167,000 orang. Sudah tentu menjelang pemilihan presiden November ini, Covid-19 menjadi isu utama kempen. Dalam kata lain, Covid-19 telah membawa polemik demokrasi dan politik AS ke tahap lebih tinggi. Malah, untuk pemilihan akan datang, Trump bertegas agar proses pengundian berjalan seperti biasa meskipun desakan semakin kuat agar undi pos dilaksanakan demi keselamatan pengundi.

Kempen pemilihan presiden ini dijangka banyak berkisar tentang keupayaan AS untuk mengatasi krisis pandemik. Tidak keterlaluan jika dinyatakan, Covid-19 telah menghangatkan lagi persaingan politik antara Trump dan Biden. Covid-19 telah meletakkan demokrasi dan politik AS semakin penting kerana rakyat perlu mengundi dan memilih pemimpin terbaik yang boleh mengeluarkan negara daripada krisis.

Negara jiran kita, iaitu Singapura telah pun selesai melaksanakan pilihan raya umum yang menyaksikan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal berkuasa. Kemenangan PAP telah memberi mandat kepada mereka untuk merencana pembangunan negara dengan lebih mantap. Malah, menurut Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Kabinet baharu yang dibentuk adalah terbaik pernah ada dalam sejarah Singapura bagi berhadapan pandemik Covid-19.

KRISIS

Covid-19 sewajarnya meletakkan politik demokrasi pada tahap terbaik. Pandemik ini sepatutnya membuka pemikiran rakyat kita untuk mengangkat kerajaan dan pemimpin terbaik yang dapat mengurus negara semasa krisis. Kerajaan dan pemimpin yang memandang ke hadapan sentiasa berfikir bagaimana untuk menjaga kepentingan rakyat.
Malaysia perlu memanfaatkan Covid-19 sebagai pemangkin untuk memperkukuh tahap kematangan politik demokrasi. Justeru, kita membayangkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti, semua parti dan calon yang bersaing sentiasa menawarkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat khususnya mencari jalan keluar daripada kemelut Covid-19.

Kempen secara agresif yang mengitar semula isu dan retorik lama tanpa kesudahan tidak akan membawa apa-apa makna kepada politik demokrasi dan kesejahteraan rakyat. Rakyat semakin bijak membuat pilihan lebih-lebih lagi Covid-19 telah banyak menguji kehidupan mereka sekali gus dapat memilih keutamaan dengan lebih rasional. Rakyat sebenarnya mahukan pembelaan agar kebajikan kehidupan mereka terus terjamin dan terbela.

Seperti kata Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin: “ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga setiap hari.” Bukan terheret sama dengan permainan parti politik yang masih mendendangkan ‘lagu’ yang sama untuk kepentingan tertentu.

Secara tuntasnya, Covid-19 tidak membawa politik demokrasi ke mana-mana. Apa yang jelas, politik demokrasi semakin kukuh dan terus mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat serta tidak pula menzahirkan apa jua norma baharu seperti dalam aspek lain.

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya