Kaji formula agihan zakat - Utusan Malaysia

Kaji formula agihan zakat

Agihan zakat perlu dilihat semula dalam tempoh pasca Covid-19 supaya dapat dimanfaatkan semua pihak - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 memberikan impak yang cukup besar dari segi ekonomi. Dalam tempoh ini, ada yang kurang bernasib baik apabila hilang sumber pendapatan serta pekerjaan.
Kesan kepada pandemik ini masih belum dirasai sepenuhnya memandangkan kita masih berada dalam tempoh moratorium iaitu tempoh pelepasan pembayaran hutang kepada pihak institusi kewangan.

Aspek penguncupan ekonomi ini harus diambil kira oleh institusi zakat dalam menilai semula program agihan dalam tempoh mendatang khususnya selepas fasa tamat moratorium. Dalam keadaan peniaga dan ada sebilangan yang hilang pendapatan, sudah tentu sumber zakat juga akan berkurang.

Menjadi kebiasaan, waktu kemuncak kutipan zakat di seluruh negeri adalah pada akhir tahun iaitu dua minggu terakhir pada Disember. Lazimnya, perbelanjaan agihan zakat akan defisit menjelang awal Disember disebabkan kurangnya kutipan pada pertengahan tahun dan kembali normal pada hujung tahun. Apabila berlaku Covid-19, formula yang biasa digunakan sebaiknya perlu dinilai semula. Ijtihad baharu atau keberanian untuk mengubah norma formula agihan zakat dalam tempoh pasca Covid-19 mestilah dilakukan bagi mengelak sebarang kesulitan pada 2021 dan 2022.

Secara teorinya, masyarakat akan melenting jika wang zakat tidak habis diagihkan pada tahun semasa atau perbelanjaan agihan tidak seimbang dengan kutipan. Bagi mereka, apa yang dikutip mesti dibelanjakan segera. Mereka hanya melihat angka tetapi tidak menilai strategi di sebalik angka. Dalam fasa pasca Covid-19 yang mana unjuran kutipan dijangka menguncup menjelang 2021 dan berkemungkinan berlarutan sehingga 2022, masyarakat perlu memberi sokongan kepada institusi zakat. Sebagai contoh, jika agihan pada tahun ini dibuat seperti biasa dengan tidak mengambil kira lebihan bagi tujuan agihan pada tahun hadapan, berkemungkinan jika berlaku kekurangan kutipan pada tahun hadapan, banyak skim agihan perlu dirombak yang memberikan kesan kepada golongan asnaf. Tetapi jika unjuran awal dibuat dengan menilai semula agihan pasca Covid-19 bagi tujuan imbangan agihan pada tahun hadapan, sekurang-kurangnya usaha ini dapat mengurangkan risiko yang bakal berlaku pada masa akan datang.

Usaha ini perlulah mendapat sokongan daripada semua pihak sama ada dalam kalangan pembayar, ahli akademik, korporat dan masyarakat kerana tindakan di luar norma ini lazimnya dipertikai kerana agihan wang zakat adalah suatu yang amat sensitif apabila dibincangkan.

MOHD. FAISAL MUSTAFFA
Pertubuhan Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya