SAUDARA PENGARANG,
TARIKH keramat 31 Ogos kian hampir tiba. Suasana sambutan Bulan Kebangsaan sepatutnya sudah dirasakan terutama pemasangan Jalur Gemilang. Namun setakat ini, saya belum nampak riak-riak sambutan daripada premis perniagaan, pejabat swasta mahupun kediaman. Perkara sebegini diharapkan akan berubah tidak lama lagi.
Saya masih ingat senario sama pada tahun lalu. Pemasangan juga kurang memberangsangkan seolah-olah tarikh itu tiada makna yang signifikan kepada masyarakat. Ada juga yang berharap bendera percuma diedarkan. Ada juga yang masih menggunakan bendera lusuh dan koyak. Itu belum lagi mereka yang memasang bendera secara terbalik.
Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, saya menyeru semua pihak supaya bersikap proaktif dan bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan. Berapalah sangat harga bendera besar dan kecil. Pihak berkuasa tempatan, jawatankuasa taman perumahan, penghuni bandar dan kampung, peneroka tanah rancangan serta institusi pendidikan tinggi perlu menggerakkan usaha memupuk kesedaran masyarakat ke arah itu. Inisiatif penduduk dan masyarakat setempat membuat replika bertema kemerdekaan memang wajar dipuji. Untuk menjimatkan perbelanjaan, elok diutamakan penggunaan bahan kitar semula.
Tanah air ini tanah tumpah darah kita. Buktikan semangat dan penghayatan kemerdekaan dalam sanubari kita. Zahirkan dengan penuh kerelaan dan kesetiaan. Merdeka, merdeka, merdeka!
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor